JOHOR BAHRU, 18 Okt (Bernama) -- Naib juara edisi lalu, Australia muncul juara Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 Tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 edisi ke-13 selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas India dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad The Burras membalas dendam selepas mereka tewas 4-5 menerusi penalti shoot-out pada final 2022 selepas kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 pada aksi penuh masa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad The Burras merangkul gelaran ketiga selepas menjuarai edisi 2016 dan 2017, sekali gus memadam hasrat India untuk menambah koleksi kejuaraan keempat mereka.
Dalam perlawanan final, Ian Grobbelaar muncul wira Australia apabila meledak dua gol, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti.
Skuad kendalian Jay Stacy membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti Grobbelaar bagi meletakkan The Burras di depan.
Namun, India pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi E. Anmol yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menewaskan penjaga gol Australia, Magnus McCausland.
Memasuki suku ketiga, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal menambah jaringan meskipun berpeluang melalui beberapa peluang pukulan sudut penalti.
Gol kemenangan Australia akhirnya hadir pada minit ke-59 apabila tolakan kencang Grobbelaar tepat menggegarkan gawang India, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Grobbelaar dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Final, manakala pemain Pakistan, Sufyan Khan muncul Penjaring Terbanyak dengan sembilan gol keseluruhan. Penjaga gol Australia, Magnus McCausland turut menerima pengiktirafan sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga petang tadi, Great Britain menewaskan Pakistan 3-2, manakala skuad remaja negara menamatkan saingan di tempat kelima selepas menang 5-3 ke atas New Zealand.
Sebanyak enam negara berentap dalam edisi kali ini. Malaysia kali terakhir menjuarai SOJC pada 2011, yang juga merupakan edisi sulung kejohanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial