KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan kepada RM7.9 bilion bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2026 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dari luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata peruntukan itu diagihkan kepada 12 kementerian yang terlibat dalam penyediaan ekosistem TVET termasuk institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan kepada sekolah dan kolej vokasional di bawah KPM. Secara keseluruhan terdapat 439,000 pelajar menuntut di 1,398 institusi TVET di seluruh negara melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak swasta," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Merealisasikan Belanjawan 2026 terbitan Bernama TV semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt mengumumkan peruntukan RM7.9 bilion untuk TVET berbanding RM7.5 bilion sebelum ini, bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi dan menyokong sektor berkeutamaan tinggi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata trend semasa menunjukkan 54.3 peratus lepasan sekolah menengah kini memilih menyambung pengajian dalam bidang TVET, mencerminkan perkembangan positif dalam memperkukuh tenaga kerja teknikal negara.
Beliau juga menepis tanggapan graduan TVET sukar mendapat pekerjaan, sebaliknya kadar kebolehpasaran graduan bidang tersebut pada peringkat nasional kini mencecah 95.1 peratus.
“Bagi institusi di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat), kadar kebolehpasaran ialah 98.7 peratus manakala CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) mencapai 100 peratus. Gaji permulaan graduan TVET juga lebih tinggi, sekitar RM2,500 berbanding purata RM1,700 bagi graduan akademik biasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata permintaan tenaga kerja mahir semakin meningkat seiring keperluan pelabur asing dan tempatan yang menumpukan kepada sektor berteknologi tinggi.
Beliau menambah kerajaan kini memperluas akses TVET kepada pelajar tahfiz dan pondok bagi memberi peluang mereka menyertai latihan kemahiran di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 hingga Tahap 5.
Pelajar yang mencapai SKM Tahap 5, menurut beliau layak melanjutkan pelajaran ke universiti teknikal seperti dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), dengan gaji permulaan mereka di pasaran kerja boleh mencecah sekitar RM3,500.
Ahmad Zahid menegaskan pelajar tahfiz memiliki kelebihan daya ingatan dan disiplin tinggi, menjadikan mereka aset penting dalam bidang teknikal.
“Di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menumpukan kepada sektor aeroangkasa, pelajar tahfiz menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata kejayaan serupa turut ditunjukkan oleh fakulti maritim di bawah UniKL yang melahirkan pelajar TVET berpotensi tinggi dengan prospek pekerjaan lebih baik berbanding graduan daripada institusi lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial