AM > BERITA

Warung Sungai Berakir Tawar Pengalaman Makan Sambil Rendam Kaki Dalam Air

17/10/2025 01:39 PM

KUALA BERANG, 17 Okt (Bernama) -- Menikmati hidangan tengah hari dikelilingi keindahan alam semula jadi pastinya menjadi pengalaman mengujakan, ditambah keenakan masakan kampung dan ulam-ulaman yang dinikmati sambil kaki terendam di dalam air sungai yang jernih serta dingin.

Mereka yang ingin merasai pengalaman unik itu boleh mengunjungi Warung Sungai Berakir di Kampung Tapah di sini, yang kini menjadi tarikan terbaharu daerah Hulu Terengganu sejak dibuka pada 2 Jun lepas.  

Pemiliknya Nasirudin Mohd, 34, berkata idea untuk membuka warung itu tercetus selepas melihat kejayaan beberapa pengusaha di negeri lain yang turut mengetengahkan konsep berkenaan.

"Lagi pula di Terengganu masih belum ada pengusaha yang tampil dengan konsep sedemikian. Pada mulanya saya berhasrat untuk membuka tapak perkhemahan kerana lokasinya yang strategik dan cantik, tetapi akhirnya tukar perancangan kerana saya mendapati hasil daripada membuka kedai makanan lebih lumayan.

"Sebelum ini saya bekerja di restoran milik keluarga dan bantu isteri mengusahakan perniagaan dekorasi pelamin. Dah ada sedikit pengalaman, lebih yakinlah nak memulakan perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Tapah di sini baru-baru ini.

Nasirudin yang mengusahakan warung berkenaan bersama isterinya, Nur Jannah Anuar, 30, berkata buat masa ini hanya menyediakan kira-kira 20 jenis lauk termasuk ikan baung dan patin masak tempoyak.

"Pada hujung minggu dan musim cuti saya terpaksa tambah pekerja kepada 16 orang berbanding tiga orang pada hari biasa. Jualan kasar juga meningkat kepada antara RM8,000 hingga RM12,000 berbanding RM3,000 ke RM5,000 pada hari biasa," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan Roslaili Razali, 41, dari Bukit Payong, Marang berkata dia sudah lama merancang untuk ke Warung Sungai Berakir bersama rakan dan keluarga.

Roslaili yang juga seorang jururawat itu berkata suasana kampung yang nyaman serta ketenangan sungai di kawasan itu mampu menghilangkan tekanan kerja dan kepenatan seharian.

"Saya tengok promosi warung ini di aplikasi Tiktok. Dah lama rancang dengan kawan baik untuk bawa anak datang sini. Selepas makan mereka (anak-anak) boleh terus mandi kerana airnya cetek,” katanya.

Seorang lagi pelanggan dari Kampung Gaung di sini Muhammad Syafiq Hafizi, 34, berkata dia bersama keluarga mengambil kesempatan beriadah sambil menjamu selera.

"Anak-anak memang gembira kerana sambil makan boleh main air. Suasana di sini sangat cantik, airnya sangat jernih sehingga boleh nampak ikan kecil yang berenang," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan