JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Politeknik Merlimau mengambil pendekatan proaktif menawarkan kemasukan secara terus kepada pelajar yang layak sempena penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di institusi itu dari hari ini hingga Ahad.
Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Politeknik Merlimau Ahmad Syukri Mohamed Yunus berkata inisiatif itu dilaksanakan khusus untuk kemasukan program diploma kejuruteraan dalam usaha menarik lebih ramai pelajar berpotensi menyertai bidang tersebut.
“Sempena PMR Melaka, kami menawarkan kemasukan terus kepada pelajar yang layak, terutama bagi program kejuruteraan kerana penyertaan dalam bidang itu agak kurang. Mereka berminat boleh hadir ke reruai kami untuk semakan kelayakan,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Syukri berkata pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat lebih mendalam berkaitan kursus ditawarkan di Politeknik Merlimau menerusi penganjuran pelbagai aktiviti termasuk pameran Festival of Ideas.
“Melalui Festival of Ideas di kompleks kami, pengunjung dapat mengenali dengan lebih dekat bidang pengajian ditawarkan di sini termasuk pameran berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
PMR 2025 Melaka bermula hari ini, menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.
Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.
Program dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi ruang kepada pelbagai kementerian serta agensi mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial