AM > BERITA

6 RRD Bawa Ilmu Ikhtiar Hidup Sempena PMR Melaka

18/10/2025 04:18 PM

JASIN, 18 Okt (Bernama) -- Suasana hutan belantara yang “dihidupkan” oleh Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD)  sebagai Kampung Ikhtiar Hidup mendapat tarikan luar biasa pengunjung pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di sini.

Menawarkan pengalaman unik yang jarang didapati di luar kawasan ketenteraan, Kampung Ikhtiar Hidup memberi peluang kepada orang awam menyelami cabaran bertahan hidup dalam persekitaran hutan seperti menyalakan api daripada sumber alam hingga mengenal pasti tumbuhan beracun dan boleh dimakan.

Ketua Kompeni 6 RRD Kapten Mohd Hafizuddin Sulaiman berkata antara ditampilkan di situ ialah model penempatan hutan, replika perangkap haiwan serta demonstrasi menghidupkan api menggunakan batu, buluh dan kayu.

“Di Kampung Ikhtiar Hidup, kita ada beberapa jenis pameran melibatkan penempatan dalam hutan, jenis khemah dan hammock selain zoo mini dengan haiwan seperti ular, landak, musang dan monyet,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hafizuddin berkata Kampung Ikhtiar Hidup bukan sekadar pameran, sebaliknya platform mendekatkan masyarakat dengan realiti kehidupan tentera atau sesiapa yang perlu bertahan hidup dalam hutan tanpa sumber asas mencukupi.

“Tidak semua pernah lihat atau tahu apa yang perlu dilakukan. Itulah kelainan dibawa Kampung Ikhtiar Hidup yang boleh diaplikasikan dalam dunia sebenar,” katanya dan menambah pengunjung turut berpeluang  mencuba aktiviti menyumpit.

Meskipun tapak itu kelihatan seperti replika, Mohd Hafizuddin berkata semua elemen dan struktur itu dibina berdasarkan pengalaman sebenar dalam latihan serta operasi hutan oleh anggota 6 RRD yang berpangkalan di Kem Ulu Tiram, Johor.

Lebih menarik, pasukan yang mengendalikan Kampung Ikhtiar Hidup terdiri daripada anak jati Sabah dan Sarawak, termasuk beliau sendiri, dengan semua mereka berbangga dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pengunjung. 

PMR 2025 Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Politeknik Merlimau di sini menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.

Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan