LABUAN, 17 Okt (Bernama) -- Terminal Feri Ro-Ro Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan dibanjiri penumpang yang mengambil peluang cuti sekolah dan Deepavali untuk berkunjung ke Sabah dan Sarawak sempena cuti Deepavali.
Menurut Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket feri, jumlah penumpang feri meningkat ketara sejak Rabu, menyaksikan tiket ke Menumbok habis dijual.
“Setiap hari terdapat tujuh perjalanan ulang-alik (termasuk perjalanan tambahan) di antara Labuan dan Menumbok dari 16 hingga 22 Okt.
“Tiket dari Labuan ke Menumbok habis ditempah dan tempahan baharu boleh didapati pada 23 Okt,” kata pengurusnya Robert Ling Song Shieng kepada Bernama hari ini.
Kebanyakan penumpang terdiri rakyat Sabah yang bekerja atau menetap di pulau bebas cukai ini, dan pulang ke kampung halaman masing-masing di Beaufort, Sipitang, Kota Kinabalu serta beberapa kawasan lain di Sabah sempena cuti perayaan.
Sementara itu, Ling berkata feri terbesar MV Putrajaya 1 mampu memuatkan hingga 85 kenderaan dan 500 penumpang, manakala MV Goodwill Star berkapasiti 85 kenderaan dan 420 penumpang.
MV Kimanis 1 dan MV Joy Star pula masing-masing boleh mengangkut 55 kenderaan dan 220 penumpang.
Beliau berkata pihaknya turut menambah jumlah petugas dan waktu operasi bagi memastikan kelancaran aliran penumpang dan kenderaan.
Menurut LDA Labuan (Holdings) Sdn Bhd, syarikat pengurusan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, sekurang-kurangnya 40 perjalanan (Labuan-Menumbok) beroperasi setiap hari bagi menampung peningkatan pergerakan penumpang.
Kebanyakan pengguna lain turut memilih laluan feri antarabangsa ke Lawas dan Limbang di utara Sarawak.
Menurut syarikat itu, jumlah pergerakan feri serta penumpang dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini dan pihak berkuasa tempatan mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi prosedur keselamatan di terminal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial