AM > BERITA

Simulator Trak ATM Tarik Perhatian Di PMR 2025 Melaka

17/10/2025 03:21 PM

JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Pameran simulator trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibawa khas sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, menarik perhatian kerana memberi peluang kepada orang awam merasai pengalaman mengendalikan kenderaan tentera.

L/ Kpl Jamylek Jaidih yang juga pemandu trak berkenaan berkata simulator itu digunakan sebagai latihan asas kepada rekrut tentera sebelum layak memperoleh lesen ketenteraan untuk mengendalikan lori tiga tan di lapangan.

“Pameran ini membolehkan pengunjung merasai pengalaman sebenar memandu kenderaan tentera termasuk cabaran di lapangan seperti memandu di kawasan berbukit atau melalui halangan. Ia memang direka untuk memberi kesan realistik kepada pengguna,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata simulator tiga tan itu merupakan versi digunakan pasukan darat pada 2010 dan kini terdapat dua jenis simulator digunakan di Malaysia iaitu versi statik dan versi dinamik.

“Versi dinamik ini lebih canggih kerana ia mampu meniru pergerakan sebenar kenderaan termasuk goncangan apabila melalui kawasan tidak rata. Jika pemandu tidak yakin, mereka boleh rasa pening atau muntah, jadi dari situ kita dapat nilai tahap kesediaan mereka,” katanya.

Pameran simulator berkenaan, menurut beliau mendapat sambutan luar biasa pengunjung terutama pelajar sekolah yang teruja untuk mencuba pengalaman membawa kenderaan tersebut.

“Ramai pelajar sekolah mencuba simulator ini, malah ada juga remaja menunjukkan minat terhadap kerjaya dalam bidang ketenteraan selepas mencubanya. Pendedahan sebegini membantu mereka memahami cabaran sebenar anggota tentera,” katanya.

PMR 2025 Melaka membuka tirai hari ini dan menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.

Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program tiga hari itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.

Program dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi ruang kepada pelbagai kementerian dan agensi mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital mereka selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan