AM > BERITA

Transformasi Digital Perakaunan Perkukuh Integriti Sektor Awam

17/10/2025 03:26 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) – Pendigitalan sistem perakaunan dan pengauditan dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh akauntabiliti serta integriti sektor awam.

Pengarah SPRM Selangor, Azwan Mohd Ramli berkata, digitalisasi mampu mengurangkan risiko fraud dalam sistem perakaunan, namun aspek integriti manusia tetap menjadi faktor penentu kepada keberkesanannya.

“Walaupun teknologi memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketelusan, nilai kejujuran dan tanggungjawab individu dalam melaksanakan tugas perlu sentiasa diutamakan,” katanya di Simposium Transformasi Digital Perakaunan dan Pengauditan anjuran bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan kerjasama SPRM, di sini semalam.

Beliau menjadi panelis Forum 1 bersama Timbalan Akauntan Negara (Operasi) JANM, Noorlida Mohd Khalid dan Akauntan Bahagian Pengurusan Audit Dalam JANM, Hifzul Hafiz Amran bertemakan “Perakaunan Masa Hadapan: Membina Sektor Awam Berteraskan Digitalisasi dan Akauntabiliti”. 

Program berimpak tinggi itu berfungsi sebagai platform strategik memperkukuh budaya akauntabiliti dalam sektor awam melalui penggunaan teknologi digital dalam proses perakaunan dan pengauditan. 

Program ini juga merupakan antara inisiatif di bawah Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang dilancarkan pada tahun ini oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad serta beberapa ketua agensi lain.

Dalam majlis itu turut menyaksikan peluncuran Manual Pengauditan Digital diluncurkan oleh Timbalan Akauntan Negara (Operasi) Noorlida Mohd Khalid.

 

Sementara itu, Forum II bertajuk “Transformasi Pengauditan Digital – Memacu Akauntabiliti dan Ketelusan Sektor Awam” menampilkan Prof. Dr. Zuraidah Mohd Sanusi dari ARI UiTM serta Nur Suriya Mohamad Omar dari AEON Co. (M) Bhd.

Penganjuran simposium itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus serta integriti sektor awam melalui pendekatan digital yang lebih telus dan berakauntabiliti. 

Kolaborasi antara agensi penguatkuasaan, institusi penyelidikan dan jabatan kerajaan ini diharap dapat mempercepatkan usaha membentuk ekosistem perakaunan dan pengauditan awam yang berintegriti, efisien dan berdaya saing di era digital.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan