AM > BERITA

Tiada Siasatan Dibuka Kes Pemain Warisan FAM Buat Masa Ini - SPRM

18/10/2025 03:41 PM

KUALA NERUS, 18 Okt (Bernama) -- Tiada kertas siasatan dibuka buat masa ini berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata oleh kerana kes berkenaan melibatkan isu teknikal antara FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada badan induk itu untuk menyelesaikannya.

“Jadi terpulang kepada FIFA sama ada akan pertimbangkan atau tidak (berhubung rayuan). Tetapi buat masa ini, SPRM tidak akan menyiasat kes ini kerana ia lebih kepada tindakan FIFA.

“Kita juga mengambil kira pengesahan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri berhubung ketujuh-tujuh pemain berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan