AM > BERITA

KPDN Perlis Giat Pastikan Peniaga Patuh SHMMP Deepavali 2025

17/10/2025 03:31 PM

KANGAR, 17 Okt (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis giat melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 yang bermula semalam sehingga 22 Okt ini.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata sebanyak 38 penguat kuasa menjalankan pemantauan di lokasi tumpuan seperti pasar raya, pasar awam dan pusat jualan barangan keperluan di negeri berkenaan sepanjang tempoh skim harga maksimum itu dilaksanakan.

“Setakat ini, tiada sebarang aduan kenaikan harga diterima, namun pemantauan akan diteruskan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal,” katanya selepas sesi walkabout SHMMP Deepavali 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Rohaida berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati peniaga gagal mematuhi skim harga maksimum serta tidak menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Untuk rekod, terdapat sembilan barangan dikuatkuasakan di bawah SHMMP Deepavali 2025 iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ROS, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (peringkat borong) dan kelapa parut (peringkat runcit).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan