JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Di sebalik seragam loreng hijau yang sinonim dengan disiplin dan ketegasan anggota tentera, terselit satu dunia seni serta rasa yang jarang diperkatakan iaitu kerjaya sebagai cef tentera.
Bagi cef Tentera Darat Malaysia (TDM), dapur bukan sekadar tempat memasak tetapi medan membentuk ketangkasan, kreativiti dan semangat juang menerusi setiap potongan buah, ukiran ais dan hidangan yang disajikan kerana ia bukan sekadar makanan tetapi lambang maruah pasukan.
Jurulatih Cawangan Kulinari Ssjn Muhammad Azrin Mansur berkata kerjaya sebagai cef tentera di Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja (PULMAT) telah membuka ruang kepadanya menerokai pelbagai cabang kemahiran yang tidak ditawarkan di dapur awam.
“Sebagai cef tentera, kami bukan sekadar masak lauk atau kek tetapi belajar semuanya termasuklah ukiran buah, ais, roti, pastri hinggalah penyediaan jamuan rasmi. Malah lebih istimewa, kemahiran ukiran mentega yang agak rumit turut dipelajari kerana ia simbol ketelitian dan ketabahan, sama seperti kehidupan di dalam ATM.
“Berbeza jika berkhidmat di dunia perhotelan atau restoran mewah, kami hanya fokus satu bidang atau kemahiran,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau di sini hari ini.
Berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidang itu di bawah ATM, Muhammad Azrin berkata setiap anggota terpilih dalam perkhidmatan kulinari akan mengikuti kursus khas bermula di peringkat asas sehinggalah ke tahap chef de partie serta diajar mengenai pengurusan sajian dan katering.
“Kami inilah yang menjadi tulang belakang dalam setiap majlis rasmi yang diadakan oleh ATM termasuk makan malam rasmi yang melibatkan kepimpinan tertinggi ATM.
“Kami masak, hidang dan urus majlis dengan semuanya kami buat sendiri. Setiap kali ada acara rasmi, tidak kira di Kuala Lumpur, Kuantan atau Melaka, kami akan digerakkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata menjadi cef tentera bukan sekadar jaminan kerjaya dengan gaji tetap tetapi bekalan kemahiran sepanjang hayat.
“Banyak bekas cef tentera kini membuka restoran sendiri atau bergelar cef profesional di hotel ternama. Bila bersara, kami tak tinggalkan apron tetapi kami teruskan perjuangan dalam dunia kulinari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial