AM > BERITA

Tiada Sekatan Ke KL Sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN - SILA

17/10/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) memberi jaminan tiada sekatan untuk ke Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan minggu depan.

Ketua SILA Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata sekatan trafik terhad kepada radius satu kilometer di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan menjadi venue utama persidangan dari 26 hingga 28 Okt ini.

Beliau memberitahu Bernama lencongan trafik di lebuh raya dan jalan utama seperti diumumkan polis, akan dihadkan kepada konvoi yang dibenarkan dan dilaksanakan mengikut keperluan untuk memudahkan pergerakan delegasi.

"Maklumat dan perkembangan terkini mengenai lencongan jalan raya akan diberikan dari semasa ke semasa menerusi media dan media sosial. Kami menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata tiada penutupan penuh jalan akan dilakukan, sebaliknya hanya lencongan dan penyuraian trafik sementara secara berperingkat sepanjang persidangan itu. 

Mohd Yusri berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan ketua-ketua negara serta delegasi.

Beliau berkata keutamaan petugas di lapangan adalah memastikan tindakan penyuraian dan lencongan jalan dikawal dengan baik dan orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan kesesakan dan kesulitan sepanjang tempoh tersebut.

Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat melibatkan penugasan 1,111 pegawai dan anggota trafik sepanjang persidangan. 

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan PDRM akan melaksanakan raptai (dry run) lencongan jalan bermula hari ini hingga 22 Okt.  

Lencongan melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dan Pangkalan Udara TUDM Subang ke hotel-hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur, KLCC dan Seri Negara.

Orang ramai masih boleh menggunakan jalan raya terbabit namun dinasihatkan agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan petugas trafik.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema "Keterangkuman dan Kemampanan".

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri sidang kemuncak itu, selain pemimpin ASEAN, rakan dialog dan para pegawai kanan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan