AM > BERITA

Ribut: Kerajaan Negeri Sumbang RM1,000 Kepada 64 Ketua Keluarga Terkesan

17/10/2025 05:23 PM

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada 64 ketua keluarga yang terkesan akibat kejadian ribut di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Rabu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian bantuan bencana dengan jumlah keseluruhan RM64,000 itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

Beliau berkata sebanyak 14 penduduk termasuk seorang pegawai di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital akibat kejadian ribut itu juga akan menerima bantuan RM1,000 seorang.

“Bagi membaiki kerosakan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan pula, kerajaan negeri mengenal pasti kerja-kerja baik pulih yang menelan kos RM320,000 dan bantuan ini akan diperuntukkan sepenuhnya di bawah Tabung Bencana Negeri supaya pelajar-pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat.

“Komitmen ini adalah tambahan kepada bantuan awal yang disalurkan oleh agensi di bawah kerajaan negeri seperti Yayasan MBI dan Majlis Agama Islam Selangor yang menyalurkan RM564,000 kepada enam sekolah, pusat khidmat dan keluarga mangsa ribut.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata kejadian ribut itu adalah antara yang terburuk dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, apabila bencana itu biasanya berlaku di kawasan utara Selangor seperti di kawasan bendang Sabak Bernam.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang Rabu lepas, sebanyak lima sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.

Antara kawasan terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SRA Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.

Sehubungan dengan itu, sebuah pusat pemindahan sementara diaktifkan bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga susulan kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Medan, Kuala Langat dekat sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan