KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung ke Festival Wayang Kulit Kelantan (FWKK) 2025, yang dijadualkan berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dari 31 Okt hingga 2 Nov ini .
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Tuan Mohamad Muda Bahadin berkata festival itu bukan sekadar wadah memperkenalkan seni persembahan tradisional kepada masyarakat umum, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha pemuliharaan warisan budaya tidak ketara negara.
“Festival Wayang Kulit Kelantan ini bertepatan dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) di bawah Budaya Nilai Tinggi, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Warisan Budaya serta Kecemerlangan Budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Festival Wayang Kulit Kelantan dan Sambutan Hari Antarabangsa Warisan Budaya Tidak Ketara 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran festival itu juga bersempena sambutan Hari Antarabangsa Warisan Budaya Tidak Ketara yang diraikan seluruh dunia pada 17 Okt dan dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai edisi kedua sejak diisytiharkan pada 2024.
“Tujuan sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan memelihara dan menghargai Warisan Budaya Tidak Ketara seperti tradisi lisan, seni persembahan, amalan sosial, ritual dan kemahiran kraf tradisional,” katanya.
Sementara itu, Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib berkata pihaknya bersedia sepenuhnya menjayakan festival yang bakal mencipta sejarah tersendiri dengan menghimpunkan 10 kumpulan wayang kulit dari Kelantan.
“ASWARA sangat komited dalam inisiatif memelihara warisan negara dengan menganjurkan Festival Wayang Kulit Kelantan ini. Ruang dan fasiliti ASWARA akan digunakan sepenuhnya sepanjang tiga hari festival yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan, pameran dan persembahan,” katanya.
Beliau berkata festival itu juga memberi peluang kepada generasi muda termasuk pelajar ASWARA menyaksikan persembahan daripada pelbagai generasi dalang wayang kulit.
“Generasi yang membuat persembahan ini adalah cross-generation dan pelajar ASWARA antara yang bertuah dapat menikmati persembahan daripada pelbagai generasi wayang kulit di Malaysia,” katanya.
Mohd Kamarulzaman berkata orang ramai, termasuk pelajar, badan bukan kerajaan dan komuniti seni digalakkan hadir untuk bersama-sama memperkukuh identiti budaya negara serta menyemarakkan pelancongan domestik, sekali gus menjadi antara pengisian penting menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial