JOHOR BAHRU, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 5-3 pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor di sini hari ini.
Pada kejohanan yang disertai enam negara sejak 11 Okt itu menyaksikan skuad Young Tigers mencatat keputusan tiga kekalahan, satu kemenangan dan satu seri.
Dalam aksi penentuan tempat kelima hari ini, skuad remaja negara sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya memecah kebuntuan seawal suku pertama dengan dua gol hasil pukulan sudut penalti Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit kedua dan gol padang menerusi Muhammad Haziq Zunnurain Mohd Azhary (ke-10).
Prestasi cemerlang itu diteruskan pada suku kedua apabila skuad Young Tigers berjaya mengekang The Black Sticks daripada mencipta sebarang jaringan.
Namun, memasuki suku ketiga, anak didik Mike Delaney akhirnya berjaya merapatkan jurang melalui gol padang Bradley Rothwell pada minit ke-32.
Susulan insiden tolakan oleh pemain New Zealand Jakarta Klebert terhadap Muhammad Haziq, Malaysia dihadiahkan pukulan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Muhammad Danish Aiman Khairul Anwar pada minit ke-44.
Tidak menunggu lama sebaik sahaja babak terakhir bermula, skuad remaja negara menambah gol keempat menerusi pukulan sudut penalti oleh Azimuddin Shakir Kamaruddin pada minit ke-47.
Selang sembilan minit kemudian, The Black Sticks sekali lagi meresahkan skuad Young Tigers apabila merapatkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi gol padang oleh Jordan Whittleston pada minit ke-56.
Empat minit kemudian, New Zealand terus garang apabila menambah tekanan dengan jaringan pukulan penalti oleh Dean Clarkson pada minit ke-60.
Namun, anak didik Nor Saiful memanfaatkan sisa masa yang ada dengan baik apabila Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi menjaringkan gol kelima, sekali gus memastikan skuad Young Tigers menamatkan kejohanan di tangga kelima.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini dalam sidang media berkata aksi konsisten sepanjang kejohanan menonjolkan peningkatan prestasi skuad remaja negara, terutama selepas menundukkan New Zealand dua kali berturut-turut, sekali gus menjadi petanda positif menjelang Kejohanan Piala Dunia Remaja di India bulan depan, walaupun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Saya rasa persediaan kami setakat ini baik, walaupun masih ada kelemahan terutama dari segi memenangi perlawanan menentang pasukan kuat seperti Australia, Britain dan India... kami tidak jauh sangat daripada mereka, cuma belum cukup untuk menang,” katanya selepas perlawanan penentuan tempat kelima di sini hari ini.
Mengulas aksi menentang New Zealand, beliau berkata skuad remaja negara beraksi dengan lebih tenang tanpa tekanan dan menghukum kelemahan pasukan lawan yang tidak dapat mengekalkan tempo permainan disebabkan cuaca panas.
“Kami berjaya menewaskan New Zealand dua kali dan itu keputusan yang positif. Kami jaringkan lima gol, tetapi juga terlepas sekurang-kurangnya lima peluang lagi. Jika bahagian serangan lebih tajam, mungkin kami boleh jaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Beliau turut memaklumkan skuad negara akan mengadakan perlawanan pemanas badan menentang Ireland dan beberapa pasukan lain sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke India.
Ketika ini, sebanyak 25 pemain disenaraikan dalam skuad latihan, dengan 18 pemain digunakan pada SOJC dan baki tujuh masih bersama pasukan.
“Bukan bermakna 18 orang ini sahaja yang akan ke Piala Dunia. Kami akan nilai semula semua 25 pemain dan pilih 20 pemain terbaik, 18 didaftarkan dan dua lagi akan bersama sebagai simpanan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial