PEKAN, 18 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata tugas mendidik anak bukan terletak di bahu guru semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama-sama yang perlu dipikul ibu bapa dan komuniti.
Beliau berkata pendidikan berkesan bermula dari rumah disusuli di sekolah oleh pendidik di samping sokongan masyarakat.
“Pendidikan bermula di rumah, daripada ikatan kekeluargaan yang mana ibu bapa kena ambil tahu tentang anak. Kemudian anak ini ke sekolah dan di sana, guru juga perlu mengambil tahu.
“Dalam masyarakat, daripada orang kampung dan komuniti pun kena ambil tahu. Jika selama ini masyarakat beranggapan pendidikan (melibatkan) cikgu sahaja, tidak betul (kerana) ini tugas semua,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Sekolah Angkat MADANI 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata kerajaan akan sentiasa melakukan penambahbaikan sistem pendidikan termasuk memastikan sekolah menjadi tempat selamat dan aman di samping membentuk pelajar menjadi lebih baik.
Beliau berkata kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak sekolah akan terus diperkasakan bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI 2025, SK Temai dipilih sebagai sekolah angkat Suruhanjaya Tenaga (ST) yang membuka peluang kepada warga sekolah untuk menikmati pelbagai manfaat dalam aspek pendidikan dan bantuan.
Shamsul Azri yang juga Pengerusi ST berkata antara tumpuan menerusi inisiatif itu ialah pembaikan dan menaik taraf infrastruktur selain melaksanakan program memperkasakan murid serta guru.
“Selain itu, ada juga bantuan kewangan seperti memberi sumbangan kepada murid susah,” katanya.
Pada majlis itu, ST menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Temai selain tiga penyaman udara, televisyen pintar (dua), panel interaktif (seunit) dan bantuan pakaian sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial