AM > BERITA

Sabah Terima Tiga Bot RHIB, Kukuh Operasi Keselamatan Di ESS Zone

18/10/2025 03:42 PM

LAHAD DATU, 18 Okt (Bernama) -- Sabah menerima tiga bot laju jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) daripada Kementerian Dalam Negeri bagi memperkukuh keupayaan operasi serta rondaan keselamatan di perairan Kawasan Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dua bot itu bagi kegunaan Pasukan Gerakan Am dan sebuah lagi diserahkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

"Projek bernilai RM4.497 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 itu dilaksanakan bagi membolehkan peningkatan operasi pasukan keselamatan di kawasan berisiko tinggi termasuk Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dan perairan Tawau," katanya kepada pemberita selepas penyerahan tiga bot berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan ESSCOM dalam menghadapi ancaman rentas sempadan dan mengekang kegiatan jenayah penyeludupan di perairan pantai timur Sabah.

"Penyerahan bot ini sejajar dengan pelaksanaan perancangan pelan induk fasa kedua ESSCOM yang menumpukan kepada pengukuhan keselamatan di ESS Zone.

"Malahan penyerahan aset baharu turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mempertingkat keupayaan taktikal pasukan keselamatan sekali gus memastikan kedaulatan dan keamanan negara terpelihara," katanya.

Shamsul Anuar turut menegaskan bahawa KDN akan terus menyokong ESSCOM dari segi dasar, aset serta sumber manusia bagi memastikan agensi itu kekal sebagai benteng utama keselamatan negara di pantai timur Sabah.

ESS Zone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan