AM > BERITA

Lebih 13,000 Haiwan Divaksin, Cegah Rabies Di Malaysia

18/10/2025 06:53 PM

KOTA BHARU, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 13,612 haiwan seluruh negara diberi vaksin sepanjang tahun ini sehingga September lepas, dalam usaha berterusan mencegah penularan rabies.

Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit dan Biosekuriti Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Aida Muhid berkata ia termasuk 5,965 di kawasan penampan seperti terdapat di Kelantan, Kedah, Perlis dan utara Perak.

Beliau berkata kawasan penampan memainkan peranan penting kerana negeri berkenaan bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand yang masih mencatatkan kes rabies aktif, termasuk di wilayah Songkhla di selatan negara tersebut.

“Alhamdulillah, di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan, kita masih bebas rabies, namun usaha pemantauan dan vaksinasi terus diperhebat bagi mencegah penularan dari kawasan berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Dr Aida berkata Kelantan dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini kerana kedudukannya sebagai negeri barisan hadapan, selain kesedaran masyarakat di negeri penampan amat penting untuk memastikan virus rabies tidak menembusi sempadan negara.

Beliau menjelaskan rabies kini bukan sahaja menjangkiti anjing tetapi juga kucing dan haiwan ternakan seperti kambing, berdasarkan data di Sarawak yang menunjukkan hampir 50 peratus kes positif datang daripada haiwan selain anjing.

“Ini menunjukkan semua pemilik haiwan perlu bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka divaksinasi dan tidak dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan,” katanya.

Dr Aida berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 46 kes rabies pada haiwan direkodkan di Sarawak, menjadikan jumlah kumulatif kes sejak wabak itu dikesan pada 2017 di negeri tersebut kepada 1,161 kes.

Beliau turut menasihatkan pemilik haiwan agar menjaga anjing dalam kawasan rumah serta menggunakan tali dan muzzle ketika dibawa keluar bagi mengelak gigitan atau serangan ke atas manusia dan haiwan lain.

“Jika digigit, jangan panik. Cuci luka dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit kemudian segera ke klinik kesihatan untuk rawatan lanjut. Rabies boleh dicegah sepenuhnya melalui vaksinasi serta tindakan pantas selepas digigit haiwan berisiko,” katanya.

Dr Aida berkata kesedaran masyarakat semakin meningkat hasil pelbagai kempen advokasi termasuk webinar, ceramah komuniti dan siaran khas media, selain usaha Malaysia melaksanakan Pelan Strategik Eliminasi Rabies (MyRES) bagi mencapai status bebas rabies menjelang 2030, selaras matlamat global Zero by 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan