KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Menjelang sambutan Deepavali esok, Jemaah Menteri tidak ketinggalan merakamkan ucapan penuh makna kepada penganut Hindu di seluruh negara menerusi hantaran di platform media sosial masing-masing.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi laman Facebooknya, mengajak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya terus memupuk semangat perpaduan serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Saya dan seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara, terutamanya kepada petani, peladang, penternak dan nelayan yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada sektor makanan negara. Selamat Deepavali!,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula berharap sinar Deepavali menjadi simbol penyatuan seluruh rakyat Malaysia, menerangi langkah ke arah sebuah negara bangsa yang makmur, sejahtera dan berjiwa besar.
“Tatkala lampu pelita dinyalakan di setiap kediaman, marilah kita menyuluh hati dengan sinar kemanusiaan. Biarlah cahaya Deepavali menembusi batas agama, kaum dan budaya menerangi jiwa seluruh rakyat Malaysia agar terus hidup dalam semangat faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian.
“Kita tidak akan sampai ke sinar tanpa menempuh gelap. Dalam setiap perjalanan hidup, ada pengorbanan, ada ketabahan, dan ada kasih yang menyatukan. Deepavali mengingatkan kita bahawa cahaya sejati bukan hanya datang daripada pelita, tetapi daripada hati ikhlas, tangan yang membantu dan jiwa saling menyinari. Selamat menyambut Hari Deepavali,” katanya.
Menteri Digital Gobind Singh Deo pula mahu rakyat mengambil inspirasi daripada Pesta Cahaya untuk terus memajukan diri dalam semua segi, seiring dengan arus dunia digital yang sentiasa berkembang pesat.
“Deepavali Nal Valthukkal buat semua masyarakat Malaysia yang berketurunan India! Ambil peluang ini untuk meraikan Deepavali dan mengeratkan jalinan kasih bersama yang tersayang dan semoga sambutan Pesta Cahaya kali ini memberi sinar kebahagiaan, kegembiraan dan kemakmuran buat anda semua,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di X sempena Deepavali berharap setiap pelita yang dinyalakan akan membawa sinar kegembiraan, kasih sayang dan kedamaian dalam hidup.
“Kepada sahabat handai dan kenalan yang meraikannya, Selamat Hari Deepavali!,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula mendoakan agar sinar cahaya yang melatari perayaan tersebut turut menyinari kehidupan seluruh rakyat Malaysia dengan penuh kasih sayang, semangat keharmonian, dan tekad memperkukuh perpaduan.
"Perayaan ini juga mengingatkan kita akan betapa pentingnya hidup rukun dan saling menghormati, di samping menjadikan kepelbagaian budaya serta agama sebagai sumber kekuatan negara dalam semangat Malaysia MADANI.
“Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang meraikannya. Deepavali Naal Vaalthukkal," katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menzahirkan ucapan Deepavali pula menasihatkan masyarakat supaya menjaga kesihatan diri dan komuniti, terutama ketika kes influenza dilaporkan sedang meningkat.
“Jika kurang sihat, berehatlah di rumah dan elakkan tempat sesak, tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta basuh tangan dengan kerap atau gunakan pensanitasi tangan,” katanya.
Selain itu, tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Hari Deepavali ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Deepavali akan disambut esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial