SIBU, 19 Okt (Bernama) -- Sinergi antara ibu bapa, guru, pelajar dan pihak berkuasa pendidikan perlu diperkukuh bagi membendung gejala buli di sekolah yang kini dianggap krisis nasional dan mengancam masa depan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata semua pihak perlu berganding bahu membentuk persekitaran pembelajaran yang bebas daripada penindasan dan keganasan, termasuk menjadikan sekolah sebagai ‘zon antibuli’.
“Kes buli yang berlaku hari ini bukan sahaja meningkat dari segi bilangan, malah semakin serius dari sudut impak dan bentuk termasuk keganasan fizikal, serangan seksual, buli siber serta insiden tragis yang menyebabkan kematian,” katanya.
Berucap pada majlis perasmian Program Bersama Menentang Buli 2025 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini, beliau berkata dasar tegas, program pendidikan tambah nilai dan sokongan psikososial yang efektif perlu digerakkan secara kolektif bagi melindungi mangsa serta membimbing pelaku supaya berubah ke arah positif.
Program anjuran bersama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Bersatu Sibu (PPWBS) dan UTS itu disertai pelajar daripada enam sekolah menengah serta tiga institusi pengajian tinggi di bandar ini yang menyertai pertandingan melukis poster bertemakan “Bersatu Menentang Buli”.
Wong berkata kebimbangan terhadap budaya buli semakin memuncak apabila ia turut berleluasa di alam maya susulan peningkatan penggunaan media sosial tanpa kawalan.
“Penghinaan, pengasingan sosial dan buli siber mungkin tidak meninggalkan luka fizikal, namun kesannya terhadap kesihatan mental mangsa amat mendalam dan boleh berpanjangan hingga ke dewasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial