AM > BERITA

Projek Redline Dilaksana Berfasa Selepas Peruntukan Disalur Kepada KKR - Nanta

19/10/2025 05:40 PM

SIBU, 19 Okt (Bernama) -- Kerja menaik taraf jajaran Projek Redline di Sarawak akan dilaksanakan secara berfasa sebaik sahaja peruntukan disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), kata menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek berkenaan yang merangkumi empat seksyen utama adalah sebahagian daripada usaha menaik taraf jajaran jalan persekutuan sedia ada yang tidak termasuk dalam kontrak asal Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.

“Ramai tidak tahu bahawa ‘Redline’ ini bukan sebahagian daripada kontrak Pan Borneo asal. Jalan-jalan ini sebenarnya dibina sebelum projek Pan Borneo dan tidak dinaik taraf bersama projek itu.

“Kini, keadaannya semakin teruk, maka kita perlu bina semula dan naik taraf supaya sama taraf dengan jajaran Pan Borneo,” katanya selepas meninjau jajaran Seksyen Durin-Salim di sini hari ini.

Nanta yang turut meninjau seksyen lain di Miri dan Bintulu pada sebelah pagi dan tengah hari tadi berkata Projek Redline adalah satu inisiatif strategik kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf jajaran jalan persekutuan empat lorong dua hala yang menepati piawai JKR R5 sedia ada yang dibina sebelum pelaksanaan LPB Sarawak untuk diintegrasikan menjadi sebahagian daripada LPB Sarawak.

Beliau berkata Projek Redline mempunyai panjang keseluruhan 136.74 kilometer, meliputi empat seksyen utama iaitu Seksyen Durin–Salim (Persimpangan Julau ke Persimpangan Lapangan Terbang Sibu) sepanjang 40.27 km dengan anggaran kos RM350 juta; Seksyen Kemena (Simpang Lapangan Terbang Bintulu ke Batu 5) sejauh 14.25 km dengan kos RM131.3 juta; Seksyen Tudan (Jalan Pujut Link ke Simpang Kuala Baram, Miri) sepanjang 9.7 km dengan kos RM86 juta; dan Seksyen Batu Kawa–Padawan (Persimpangan Batu Kawa ke Persimpangan Serian) sepanjang 55.42 km dengan anggaran kos RM345 juta.

Nilai keseluruhan projek, katanya dianggarkan melebihi RM900 juta.

“Daripada jumlah ini, Seksyen Durin-Salim telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM231 juta dalam Belanjawan 2026, dan akan menjadi jajaran pertama yang dilaksanakan kerana ia dikategorikan sebagai kritikal berikutan banyak kemalangan berlaku di kawasan ini,” katanya.

Nanta turut menyifatkan kelulusan peruntukan bagi Projek Redline sebagai berita menggembirakan untuk rakyat Sarawak, khususnya pengguna laluan utama antara Sibu, Bintulu dan Miri.

Beliau berkata KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus memperkukuh kerjasama dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur di negeri itu dilaksanakan secara terancang, mampan dan berimpak tinggi.

“KKR dan JKR Sarawak sentiasa bekerjasama rapat. Kita turun padang setiap bulan untuk pantau perkembangan projek agar tidak ada pihak beranggapan kerajaan tidak peduli. Dengan kelulusan peruntukan baharu ini, kita yakin kerja menaik taraf dapat dimulakan tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan