AM > BERITA

P.Pinang Sedia Jadi Perintis Projek Padi Sekali Tanam Dua Kali Tuai

19/10/2025 10:21 PM

GEORGE TOWN, 19 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang sedia menjadi negeri perintis pelaksanaan projek teknologi penanaman padi ratun atau ratoon rice, kaedah yang membolehkan padi dituai sebanyak dua kali dengan sekali tanaman.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan itu kepada  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk meneroka teknologi itu secara bersama.

"Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol telah ke institusi penyelidikan pertanian utama di wilayah Fujian, China dan teknologi penanaman padi itu boleh mengantikan kaedah tradisional, iaitu sekali tanam dan sekali tuai.

"Pulau Pinang bersedia menjadi negeri perintis kepada pelaksanaan teknologi berkenaan dengan pendekatan moden yang lebih efisien, mampan dan berimpak tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Turut hadir Fahmi, Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli serta Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri.

Chow berkata tuaian kedua bagi penanaman kali pertama hanya mengambil masa 70 hari dan dengan teknologi itu, ia dapat meningkatkan pendapatan pesawah apabila proses tuaian boleh dilakukan sehingga empat kali dalam setahun, iaitu dengan dua kali penanaman.

Sementara itu, Fahmi berkata adalah wajar untuk agensi kerajaan yang terlibat meneroka pendekatan lebih inovatif dalam meningkatkan pengeluaran padi.

"MARDI telah menjalankan kajian dan Pulau Pinang menawarkan untuk melaksanakan projek perintis yang jika berjaya boleh diperluaskan ke seluruh negara.

"MARDI juga menunggu Universiti Perhutanan dan Pertanian Fujian (FAFU), sebuah institusi penyelidikan pertanian utama di wilayah Fujian untuk bekerjasama seterusnya menanam padi ratun di kawasan MARDI di Pinang Tunggal untuk musim penanaman padi berikutnya bulan depan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan