AM > BERITA

ILO Puji Langkah Positif Malaysia Lindungi Kebajikan Pekerja Gig

22/10/2025 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memuji langkah proaktif Malaysia dalam melindungi kebajikan pekerja gig menerusi Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata Ketua Pengarah ILO Gilbert F. Houngbo telah menyatakan rasa kagumnya dengan usaha Malaysia memperkukuh perlindungan pekerja, khususnya melalui apa yang dianggap sebagai undang-undang komprehensif pertama di dunia yang secara langsung menangani isu pekerja gig.

“Kami telah memberi taklimat kepada Ketua Pengarah ILO (Houngbo) mengenai Rang Undang-Undang Pekerja Gig Malaysia yang diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 Sept dan beliau amat berpuas hati melihat bagaimana pihak majikan serta kesatuan menyokong inisiatif ini,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong telah mengehoskan satu majlis makan tengah hari bersama Houngbo serta pemimpin tiga pihak Malaysia, yang terdiri daripada wakil kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja.

Akta Pekerja Gig 2025, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 28 Ogos dan disahkan oleh Dewan Negara pada 9 Sept, akan memperluas perlindungan kebajikan kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang menjana pendapatan melalui ekonomi gig.

Pada 11 Okt, Sim berkata ia kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Syed Hussain berkata Akta Pekerja Gig yang akan dilaksanakan sebaik sahaja diwartakan, mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan layanan adil dan perlindungan kepada semua segmen tenaga kerja, termasuk mereka yang berada di luar struktur pekerjaan tradisional.

“Akta ini memastikan pekerja gig tidak lagi tersisih daripada perlindungan asas yang ditawarkan oleh undang-undang pekerja. Ia menyediakan rangka kerja bagi keselamatan sosial, gaji minimum serta pampasan bagi penyakit dan kecederaan,” katanya.

Syed Hussain berkata kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja di bawah kepimpinan Sim, telah memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar progresif sebegini.

“Kita bertuah mempunyai seorang menteri yang terbuka, mudah didekati dan komited terhadap penglibatan semua pihak berkepentingan. Di bawah kepimpinannya, perbincangan tiga pihak antara kerajaan, majikan dan kesatuan telah berkesan dalam menyelesaikan isu serta memajukan kebajikan pekerja,” katanya.

Beliau berkata MEF turut memaklumkan kepada ILO mengenai perkembangan terkini lain, termasuk pelaksanaan caruman keselamatan sosial sebanyak dua peratus untuk pekerja asing dan perlindungan 24 jam oleh kerajaan bagi kemalangan berkaitan kerja, yang menunjukkan kesungguhan Malaysia memastikan tiada pekerja, tempatan, asing atau pekerja gig yang tertinggal. 

Beliau menambah bahawa maklum balas positif daripada ILO mencerminkan kejayaan rangka kerja tiga pihak Malaysia serta institusi seperti Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dan Majlis Konsultasi Gaji Negara, yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian industri.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata pihaknya berharap agar ILO memberi lebih banyak sokongan dalam bentuk pembangunan kapasiti, kepimpinan dan pembiayaan teknikal bagi memperkukuh pelaksanaan undang-undang dan perlindungan sosial di semua peringkat.

Beliau berkata Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk menjadi contoh negara membangun yang mengutamakan kebajikan pekerja, selari dengan norma antarabangsa yang merangkumi perlindungan menyeluruh tanpa mengira status termasuklah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) serta perlindungan sosial lain.

“Menteri (Sim) juga turut berusaha turun padang dengan melawat 34 kesatuan dalam masa 22 bulan, yang membuktikan keprihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja. 

“Selain itu, pengenalan inisiatif baharu termasuk Akta Pekerja Gig 2025 dan perlindungan sosial 24 jam, menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja, namun bagi pelaksanaan skim caruman dan perlindungan, ia perlu dikongsi secara adil antara kerajaan, majikan dan pekerja agar tidak membebankan pekerja berpendapatan rendah,” katanya.

Abdul Halim berkata kesamarataan perlindungan antara pekerja tempatan dan pekerja asing termasuk kadar caruman dan hak simpanan hari tua yang setara juga perlu diberikan perhatian.

“Pekerja tempatan mencarum 13 peratus kepada KWSP, maka pekerja asing juga seharusnya dicarum dengan kadar yang sama, supaya kedua-duanya mempunyai simpanan hari tua yang adil, selaras dengan Konvensyen Keselamatan Sosial 102,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan