KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Ahli perniagaan terkenal Datuk Seri Anne Eu menjadi rakyat Malaysia pertama bukan ahli Pandu Puteri menerima anugerah berprestij dunia daripada Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).
Anugerah itu dikenali sebagai Pingat Perkhidmatan WAGGGS.
WAGGGS adalah pertubuhan yang mewakili lebih 11.2 juta ahli di seluruh dunia.
Eu yang juga Pengerusi Eu Yan Sang Malaysia adalah seorang tokoh dermawan yang aktif.
Anugerah berkenaan adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Olave Baden-Powell Society (OB-PS) dan WAGGGS.
Anugerah itu disampaikan kepada Eu pada persidangan global di Cyprus pada Selasa.
“Ini adalah satu penghormatan untuk Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Penyelaras negara OB-PS bagi Malaysia Penelope Gan menyifatkan anugerah itu sebagai satu pencapaian luar biasa dan bukti kepimpinan cemerlang, keberanian serta komitmen teguh beliau terhadap usaha pemerkasaan dan khidmat masyarakat.
“Beliau telah mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Eu turut melahirkan rasa syukur atas kehadiran Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Persidangan OB-PS di Cyprus.
Tunku Azizah yang juga Royal Benefactor OB-PS turut berangkat ke majlis penyampaian anugerah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial