AM > BERITA

Projek Jalan Dan Jambatan Baharu Jerantut-Lipis Legakan Penduduk

23/10/2025 04:10 PM

LIPIS, 23 Okt (Bernama) -- Pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan daerah Jerantut dan Lipis memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama terpaksa bergantung kepada laluan sedia ada yang kurang elok, jauh dan berisiko terutamanya ketika musim tengkujuh.

Menang Idaman Sdn Bhd (MISB), selaku kontraktor lantikan projek berkenaan dalam kenyataan memaklumkan pembinaan jalan dan jambatan itu dapat menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis. 

“Pembinaan projek itu membawa pelbagai manfaat, termasuk memendekkan jarak perjalanan daripada 60 kilometer (km) yang memakan masa satu jam perjalanan kepada hanya 17km dan masa perjalanan selama 15 minit, selain turut mempertingkatkan aspek keselamatan penduduk yang menggunakan laluan itu,” menurut kenyataan itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchur, Lipis Roslan Idris berkata pelaksanaan projek itu akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk setempat. 

“Saya amat bersyukur kerana pembinaan ini dapat merapatkan jurang pembangunan luar bandar dengan bandar serta memberi kemudahan kepada kami sebagai penduduk untuk mendapatkan akses pendidikan, kesihatan serta peluang pekerjaan dengan lebih baik,” katanya.

 Menerusi projek ini juga, peluang baharu dalam bidang keusahawanan, pelancongan desa dan perkhidmatan logistik dapat dicapai dengan akses yang baik, sekali gus mencipta rantaian ekonomi baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk kampung tetapi komuniti bandar berhampiran.

“Orang kampung peroleh manfaat daripada jalan perhubungan yang bagus, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi antara kampung-kampung yang terlibat terutamanya dalam jangka masa panjang,” kata Pengerusi JPKK Kampung Batu Balak, Jerantut Mohd Johari Umar.

Projek itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengarah MISB Mohd Tarmizi Mohd Zuki dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya sebagai kontaktor lantikan projek itu menghadapi beberapa cabaran, termasuk jambatan sementara yang runtuh tiga kali akibat bencana alam. 

Beliau bagaimanapun berkata syarikat tetap komited meneruskan pembinaan dengan tekun serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan jambatan sebenar lebih kukuh, selamat dan bermanfaat kepada orang ramai.

Pembinaan itu juga mewujudkan laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands melalui Kuala Lipis, sekali gus membuka peluang baharu bagi perancangan pembangunan wilayah pada masa akan datang.

Projek yang siap lebih awal daripada jadual asal pertengahan September dan telah dibuka kepada penduduk 31 Ogos lepas adalah selian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan