KUCHING, 24 Okt (Bernama) -- Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyasarkan peluasan kerjasama dengan pelbagai industri strategik di Sarawak menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035.
Pengerusi PERHEBAT Prof Emerita Datuk Dr Roziah Omar berkata pelan berkenaan menjangkakan kolaborasi dengan 200 agensi dan syarikat swasta merentasi pelbagai industri berimpak tinggi seperti tenaga, minyak dan gas, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pertanian moden.
“Inisiatif ini berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor strategik Sarawak, sekali gus menyokong aspirasi negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi dan berdaya tahan menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pelan itu merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT yang dipacu sektor swasta bagi meningkatkan kemahiran, memperluas peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi yang bersesuaian dengan kepakaran dan pengalaman veteran tentera.
“Pelan ini memperteguh peranan PERHEBAT sebagai Pemacu Kelestarian Ekonomi Perwira Negara, selaras tanggungjawabnya untuk menjamin kelangsungan kesejahteraan hidup bakal pesara dan veteran tentera,” katanya.
Sementara itu, Roziah turut menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) PERHEBAT peringkat Negeri Sarawak di sini semalam, dengan menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah keseluruhan RM42,000 kepada tujuh usahawan veteran.
Program PUVET ATM yang buat pertama kali diperluas ke Sarawak selepas 12 siri pelaksanaannya di seluruh negara sejak 2023 membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam memperkukuh sosioekonomi veteran tentera.
Program itu membolehkan peserta bertemu pengusaha industri dan agensi sokongan bagi menimba pengetahuan baharu serta memahami perkembangan industri, di samping menjadi pemudah cara untuk mengenal pasti dan menyalurkan pelbagai bantuan keusahawanan bagi memajukan perniagaan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah PERHEBAT Datuk Amir Md Noor berkata kehadiran PERHEBAT dalam pasaran kerja akan menjadikan institusi itu lebih dinamik dan berkesan, serta membuka ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan yang lebih berkualiti kepada anggotanya.
“Menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, PERHEBAT akan meneruskan usaha mencapai matlamat bagi menghasilkan manfaat sosioekonomi yang mampan serta masa depan yang lebih baik untuk veteran tentera,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial