KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Timor Leste berhasrat memperluas perdagangan dan ekonomi menerusi penglibatan negara itu dalam Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Timor Leste Francisco Kalbuadi Lay berharap negaranya akan mendapat lebih banyak peluang untuk berdagang bersama negara-negara ASEAN untuk masa akan datang.
"Mesyuarat AECC memberi kesempatan yang lebih baik untuk Timor Leste membuka ruang lebih banyak kepada peluang ekonomi dan juga belajar dari keluarga besar ASEAN," katanya kepada pemberita selepas menyertai Mesyuarat AECC ke-26 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada mesyuarat itu, AECC menyambut menyambut baik penyertaan Timor-Leste hari ini.
Timor Leste turut diundang untuk bersama dalam perbincangan hari ini selaras dengan garis panduan yang disemak semula yang diterima pakai oleh Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-35.
Sementara itu, beliau turut menghargai bantuan Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendapatkan keanggotaan penuh ASEAN.
"Bagi kami, bantuan oleh Malaysia merupakan sesuatu perkara yang amat luar biasa.
"Masih ada dua hari lagi sebelum Timor Leste menjadi sebahagian daripada ASEAN. Kami akan terus berusaha, terutama dalam memperkukuh demokrasi dan memelihara kedamaian di rantau ASEAN," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menyaksikan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok berkenaan.
Sidang kemuncak ini dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah blok itu, menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih baik selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir mempengerusikannya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial