AM > BERITA

Online Safety IRL Bentuk Generasi Baharu Tangani Penipuan AI

24/10/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 35 pemangkin perubahan muda dan pencipta kandungan telah dipilih untuk memimpin advokasi keselamatan dalam talian melalui program Online Safety IRL: Scam Edition.

Sebagai suara yang dipercayai dalam komuniti masing-masing, secara kolektif para peserta ini berpotensi menjangkau dan menghubungi lebih lima juta pengguna dalam talian bagi meningkatkan kesedaran tentang penipuan (scam) dan membentuk tingkah laku digital lebih selamat.

Program yang dipacu secara bersama oleh Kementerian Komunikasi, CelcomDigi Berhad, Meta Platforms, Inc. dan Ratio:Cause, dengan sokongan rakan media Tonton adalah bagi membina sebuah rangkaian penggerak advokasi keselamatan digital kukuh serta memaksimumkan impak melalui penglibatan pelbagai pihak dalam komuniti.

Susulan kejayaan edisi pertamanya yang telah memberi impak positif kepada lebih 2.8 juta rakyat Malaysia melalui kandungan kesedaran keselamatan digital, edisi kedua kembali dengan fokus untuk menangani ancaman penipuan kewangan yang semakin meningkat, khususnya scam yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi masyarakat.

“Peserta program ini akan menjalani fellowship yang imersif, menyeluruh dan merangkumi masterclass bersama pakar, bimbingan mentor serta aktiviti bersama komuniti, bagi memperkukuh kemahiran mengenal pasti penipuan serta memahami peranan AI dalam aspek keselamatan dan risiko penipuan,” menurut kenyataan bersama Kementerian Komunikasi, CelcomDigi Berhad, Meta Platforms, Inc.,  Ratio:Cause dan Tonton

Dalam kenyataan sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penipuan memberi kesan kepada semua, dan untuk melindungi rakyat Malaysia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Program ini menunjukkan apa boleh dicapai apabila kerajaan, industri dan komuniti berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh keselamatan dalam talian untuk semua," kata Fahmi.

Ketua Kelestarian CelcomDigi Philip Ling pula berkata pencipta kandungan dan pemimpin belia adalah pemangkin perubahan yang berpotensi menjangkau dan mempengaruhi komuniti di dalam dan luar talian.

“Kami telah melihat impak advokasi yang dipimpin golongan sebaya dalam membentuk cara rakyat Malaysia melayari dunia digital. Melalui Online Safety IRL, kami membantu membina rangkaian penggerak advokasi dinamik yang mencetuskan perbualan, mengubah tingkah laku serta menjadikan Internet lebih selamat untuk semua,” katanya. 

Beliau berkata CelcomDigi kekal komited untuk mewujudkan persekitaran digital lebih selamat dan terjamin untuk semua dan pihaknya akan terus membangunkan kerjasama strategik bagi membina masyarakat digital yang dipercayai.

Sementara itu, Ketua Dasar Awam Meta untuk Malaysia dan Brunei Daniel Lim berkata melindungi pengguna dalam talian adalah usaha bersama dan pihaknya berusaha untuk melengkapkan generasi akan datang dengan kemahiran dan kesedaran yang diperlukan untuk melayari ruang digital dengan yakin.

“Melalui program Online Safety IRL, kami berbangga dapat menyokong pemimpin muda dan pencipta kandungan dalam memperjuangkan kesedaran tentang penipuan serta menggalakkan tingkah laku dalam talian yang lebih selamat dalam komuniti mereka. Bersama rakan kongsi, kami sedang membina masa depan digital yang lebih selamat dan berinformasi untuk semua rakyat Malaysia.” katanya.

Menurut Pengarah Eksekutif Ratio:Cause New Su Shern kejayaan edisi pertama membuktikan betapa kuatnya impak kolaborasi apabila pelbagai pihak berkepentingan berganding bahu dengan matlamat jelas.

“Tahun ini, kami memperluas impak tersebut, menjangkau lebih ramai rakyat di seluruh negara melalui kumpulan pencipta kandungan dan peserta belia yang lebih pelbagai.

“Bersama Kementerian Komunikasi, Meta, CelcomDigi dan Tonton, kami membina daya bingkas terhadap penipuan bukan sekadar kempen, tetapi sebagai satu gerakan yang dipacu oleh suara komuniti kita sendiri,” katanya.

Program itu merangkumi dua strim fellowship yang berasingan, masing-masing direka khas untuk pencipta kandungan dan golongan belia di seluruh Malaysia.

 Pencipta kandungan akan menjalani program fellowship selama tiga bulan merangkumi geran RM8,000 bagi penghasilan kandungan berkaitan kesedaran scam dan Masterclass bersama pakar dalam topik seperti psikologi penipuan, penipuan yang dijana oleh AI, dan penciptaan kandungan beretika selain peluang eksklusif untuk membina hubungan bersama rakan korporat, agensi kerajaan, dan pencipta kandungan yang sehaluan.

Menurut kenyataan itu, golongan belia akan menjalani program fellowship selama enam bulan yang merangkumi Masterclass bersama pakar yang memberi tumpuan kepada aktiviti komuniti dan advokasi, serta topik seperti psikologi penipuan, penipuan yang dijana oleh AI dan lain-lain, bimbingan daripada rakan program dan pakar industri daneluang praktikal untuk mereka bentuk projek komuniti berkaitan kesedaran tentang penipuan.

Bersempena dengan pelancaran Online Safety IRL: Scam Edition, Meta turut memperkenalkan permainan kesedaran tentang penipuan terbaru yang dinamakan ‘Is This Legit?’, kini tersedia dalam bahasa Melayu untuk audiens tempatan.

Permainan interaktif ini direka untuk menyediakan komuniti dalam talian dengan kemahiran mengenal pasti dan mengelakkan penipuan biasa.

“Akses ‘Is This Legit?’ di desktop atau peranti mudah alih sekarang di my.isthislegit.eyeyah.com.

“Untuk maklumat lanjut mengenai program dan hasil daripada para peserta Online Safety IRL, layari www.onlinesafetyirl.com dan ikuti @onlinesafetyirl di Instagram, Facebook dan TikTok,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan