PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta petugas media yang terlibat dalam membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk memberi maklum balas kepada pihaknya sekiranya berdepan sebarang masalah sepanjang acara berlangsung.
Beliau berkata ini kerana sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu mencatat sejarah dengan kehadiran jumlah wartawan paling ramai, termasuk wakil media antarabangsa.
“Sekiranya ada apa-apa isu boleh maklumkan kepada saya sama ada isu liputan Internet ataupun isu kebajikan kerana ini merupakan acara di mana jumlah wartawan yang paling besar dalam sejarah sidang kemuncak yang kita adakan di Malaysia.
“Dengan lebih 300 wartawan dari negara Jepun sahaja, ini satu detik yang cukup bersejarah, jadi sekiranya ada apa-apa boleh rujuk dengan saya,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Setakat tengah hari semalam, Fahmi memaklumkan seramai 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah mendaftar bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan merangkumi 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan dan 1,277 media antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara mula tiba di negara ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu dengan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão menjadi pemimpin pertama yang tiba dan disambut oleh Fahmi sendiri di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata semua persiapan bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah dirancang dengan baik dan menegaskan tiada pelaksanaan sekatan pergerakan (lockdown) di Kuala Lumpur sepanjang acara itu berlangsung.
“Laluan adalah seperti yang telah diumumkan (sebelum ini) dan sekiranya ada penutupan berkala atau berjadual, boleh rujuk dengan Ketua Polis Kuala Lumpur dan cuma pada 26 Nov akan bermula di kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, laluan-laluan utama akan ditutup,” katanya.
Fahmi juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi mengelak sebarang kesulitan sepanjang acara berlangsung.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt ini, di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Antara pemimpin dunia yang dijadualkan menghadiri sidang kemuncak berkenaan ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967, selepas memegang jawatan itu pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial