Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU), blok perdagangan terbesar dunia, menyasar untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditunggu sejak sekian lama dengan Malaysia menjelang 2027.
Duta EU ke ASEAN, Sujiro Seam berkata pemeteraian itu akan menandakan pencapaian besar dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara EU dan Malaysia.
Rundingan FTA itu bermula pada 2010 namun terhenti selepas tujuh pusingan pada 2012 berikutan kebimbangan Malaysia terhadap dasar pemerolehan minyak sawit, subsidi dan klausa kelestarian EU.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mengumumkan rundingan itu akan disambung semula semasa lawatan kerja Anwar ke Brussels tahun lepas.
Seam berkata EU berusaha menjalinkan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh dengan beberapa negara anggota ASEAN, dengan rundingan FTA berterusan melibatkan Malaysia, Thailand dan Filipina.
Usaha itu susulan kejayaan pemuktamadan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Indonesia pada September lepas setelah rundingan selama hampir sedekad.
“Hasrat yang ditunjukkan oleh Pesuruhjaya Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi, Maroš Šefčovič -- yang merupakan ketua perunding perdagangan EU -- adalah untuk memuktamadkan rundingan itu menjelang 2027,” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan minggu depan.
Sidang kemuncak itu juga akan merangkumi sidang kemuncak dengan EU, yang merupakan rakan dialog blok Asia Tenggara itu.
Pada masa ini, EU mempunyai FTA dengan Singapura dan Vietnam, dan perjanjian yang bakal dimeterai dengan Indonesia akan menjadi yang ketiga dengan negara anggota ASEAN.
Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU mencecah RM218.9 bilion, dengan eksport berjumlah RM115.8 bilion manakala import pada RM103.1 bilion.
Eksport utama Malaysia ke EU meliputi produk elektrik dan elektronik, barangan perkilangan, minyak sawit serta produk berkaitan, makanan diproses, dan peralatan optik serta saintifik.
Seam berkata sekiranya rundingan dengan Malaysia, Thailand dan Filipina berjaya dimuktamadkan menjelang 2027, blok itu akan mempunyai liputan meluas bagi negara anggota ASEAN.
Langkah itu sejajar dengan aspirasi jangka masa panjang ASEAN dan EU untuk mewujudkan FTA antara rantau ke rantau.
Bagaimanapun, beliau berkata pemimpin daripada kedua-dua blok telah bersetuju pada 2022 bahawa FTA rantau ke rantau merupakan matlamat jangka masa panjang.
Buat masa ini, EU menumpukan kepada FTA dua hala sebagai asas ke arah mencapai matlamat yang lebih besar itu.
Beliau berkata 2027 juga akan menjadi tempoh bagi ulang tahun ke-50 Kerjasama Dialog ASEAN-EU, satu pencapaian penting yang kedua-dua pihak berharap dapat meraikannya dengan kemajuan ketara dalam hubungan ekonomi dan strategik.
“Peluang ditawarkan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini merupakan tahun yang amat baik untuk kita bekerjasama dengan ASEAN di peringkat pemimpin," katanya.
Seam berkata EU, di bawah kepimpinan baharu Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan ASEAN sebagai rakan yang boleh diharap dan dipercayai ketika berlakunya perubahan landskap politik.
“Kami telah menyatakan kepada rakan-rakan ASEAN bahawa kami ingin menganjurkan sidang kemuncak memperingati ulang tahun ke-50 (dan) hasil terbaik bagi acara ini adalah menaik taraf perkongsian strategik sedia ada kepada perkongsian strategik komprehensif,” katanya.
Mengulas mengenai bidang kerjasama antara kedua-dua blok, Seam berkata EU dan ASEAN akan terus bekerjasama dalam tiga bidang utama yang dikenal pasti oleh pemimpin pada 2022, iaitu ekonomi digital, peralihan hijau dan rantaian nilai yang berdaya tahan.
“Bagi ekonomi digital, kami menunggu hasil dan pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang akan memberikan asas untuk kami meningkatkan lagi kerjasama dengan ASEAN.
“Kami sedar dengan perubahan kedudukan semasa dalam landskap perdagangan, terdapat potensi untuk membentuk semula rantaian nilai, dan ini merupakan topik yang ingin kami usahakan bersama ASEAN,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga bidang itu kekal sebagai keutamaan bermakna bagi kerjasama ASEAN-EU memandangkan kedua-dua pihak mengharungi landskap ekonomi global yang sedang berubah.
Seam juga mengulangi bahawa kerjasama EU dengan ASEAN adalah sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang untuk mempertingkat kesalinghubungan dan pertumbuhan mampan di kedua-dua rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial