AM > BERITA

Kecurian Kabel Punca Gangguan MRT Laluan Putrajaya - Prasarana

25/10/2025 02:38 PM

SUBANG JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Gangguan operasi transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya yang menyebabkan perkhidmatan tren dijalankan secara manual sejak pagi tadi disyaki berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Amir Hamdan berkata pasukan teknikal bersama pakar sistem asal (OEM) kini sedang melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin.

“Buat masa ini, sistem masih beroperasi secara tidak konsisten dan belum dapat diperbetulkan sepenuhnya. Operasi dijalankan dalam mod manual dengan 18 tren beroperasi, manakala 40 bas perantara percuma disediakan bagi menghubungkan stesen di sepanjang Laluan Putrajaya.

“Kami akan terus memaklumkan perkembangan semasa kerja pemulihan kepada orang ramai supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik dalam tempoh dua hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penjenamaan semula pas perjalanan Rapid di stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Perindustrian Puchong, hari ini.

Beliau berkata insiden kecurian kabel yang menjejaskan operasi MRT itu dikesan di kawasan Taman Desa dan kini sedang disiasat dengan kerjasama pihak polis.

Amir berkata dalam tempoh setahun ini sahaja, hampir 50 kes kecurian kabel telah direkodkan, menunjukkan peningkatan kira-kira 100 peratus berbanding tahun lepas.

“Ia satu perkembangan membimbangkan kerana melibatkan risiko keselamatan serta kestabilan operasi. Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan sistem rel, malah turut memberi kesan kepada perkhidmatan operator lain yang menghadapi insiden sama.

“Perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian kerajaan bagi mempertimbangkan langkah memperketat undang-undang berkaitan kecurian aset infrastruktur awam,” katanya.

Sementara itu, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok, beliau menasihati pengguna pengangkutan awam supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif seperti yang dimaklumkan menerusi kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan