AM > BERITA

Onde-onde Terbanyak Cipta Rekod Baharu Di Melaka

25/10/2025 05:18 PM

MELAKA, 25 Okt (Bernama) -- Melaka berjaya mencatat rekod baharu menerusi penghasilan sebanyak 50,000 biji kuih onde-onde, sekali gus mengangkat keunikan kuih tradisional itu yang sinonim dengan warisan dan budaya negeri itu.

Rekod yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records berkenaan dicapai sempena Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025, yang berlangsung di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata penghasilan kuih tradisional yang juga dikenali sebagai “Buah Melaka” itu, antara usaha bagi mengetengahkan keunikan juadah warisan negeri kepada generasi muda dan pelancong.

“Usaha ini bukan sekadar untuk mencipta rekod, tetapi lebih kepada mempopularkan kembali kuih tradisional ini yang mempunyai rasa enak serta aroma tersendiri, diperbuat daripada bahan seperti tepung pulut, kelapa parut, dan gula Melaka.

“Inilah keunikan yang mahu kita tonjolkan sebagai negeri pelancongan berteraskan budaya,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.

Abdul Razak berkata program yang bermula 9 pagi tadi itu, turut melibatkan penyertaan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), agensi kerajaan negeri, persatuan chef dan pelajar institusi pengajian tinggi yang bergotong royong menyiapkan kuih tersebut.

Beliau berkata onde-onde yang berjaya dihasilkan itu juga, akan diedarkan kepada orang ramai termasuk pelancong di kawasan sekitar bagi membolehkan mereka sama-sama menikmati hasil usaha tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata festival selama tiga hari yang bermula semalam menampilkan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung dengan lebih 30 acara, antaranya Busana By The River  yang menggalakkan peserta mengenakan pakaian tradisional di tepi Sungai Melaka, bagi menikmati diskaun 30 peratus untuk Melaka River Cruise.

“Selain itu, turut diadakan pesta makan durian, pertandingan memancing, Pasar Saloma dan perarakan bot berhias di Telok Berembang, Lubok China.

“Acara kemuncaknya akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh malam ini dan saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi memeriahkan festival ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan