AM > BERITA

Lambaian Di Hadapan Kolej Tidak Sangka Yang Terakhir – Bapa Mangsa

25/10/2025 05:46 PM

TANGKAK, 25 Okt (Bernama) -- Lambaian Allahyarham Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19, di hadapan kolej pada pagi sebelum kejadian tidak disangka menjadi lambaian terakhir buat ibu dan bapanya sebelum anak bongsu itu maut dalam kemalangan di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat, berhampiran Bandar Baru Sagil di sini malam tadi.

Bapa Allahyarham, Kamarul Hafiz Jaafar, 51, berkata dia bersama isteri dalam perjalanan dari Segamat ke Tangkak dan sempat menelefon anaknya itu ketika melalui di hadapan Kolej Komuniti Tangkak, tempat arwah belajar.

“Dia tunggu di pagar dan melambai-lambai kepada saya dan isteri. Pada malamnya, saya benar-benar terkejut apabila menerima berita tentang kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Darwish,” katanya sebak ketika ditemui Bernama di kediaman mereka di Bandar Baru Tangkak di sini hari ini.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Muhammad Danish, 22, berkata amalan makan ‘besar’ setiap bulan bersama keluarga kini tinggal menjadi kenangan.

Dia berkata kali terakhir mereka tiga beradik bersama ibu bapa menikmati makan ‘besar’ ialah pada penghujung bulan lepas dengan menjamu selera ikan bakar di Melaka, hidangan kegemaran adik bongsunya itu. 

“Arwah yang bekerja sambilan sebagai tukang gunting rambut merupakan orang yang paling gembira setiap kali keluarga dapat meluangkan masa bersama. Ini kerana saya dan arwah tinggal di rumah di Tangkak manakala ibu dan ayah di Segamat.

“Kenangan terakhir saya bersama arwah ialah pagi sebelum kejadian, ketika saya mengejutkannya daripada tidur untuk ke kelas di Kolej Komuniti Tangkak,” katanya.

Kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi pada 10.20 malam itu, turut mengorbankan rakan baik mangsa, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain, 20, yang bekerja di kedai gunting sama, serta dua lagi penunggang dan pembonceng motosikal, Sky Chang Ji Shiang, 20, dan Pang Chong Chong, 18.

Jenazah Muhammad Darwish dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang di sini, manakala jenazah Muhammad Alauddin dikebumikan di Parit Bakar, Muar.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada 10.55 malam yang mengakibatkan tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 20 tahun maut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan