KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menyokong mekanisme saman trafik baharu, “lebih cepat anda bayar, lebih rendah jumlah bayaran” yang diyakini mampu mengurangkan kesalahan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan jalan raya jika dilaksanakan dengan berkesan.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata pendekatan baharu itu memberi mesej yang jelas bahawa undang-undang trafik mesti dihormati dan sebarang pelanggaran akan ditangani dengan tegas.
Lee berkata pada masa yang sama, penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara konsisten, telus dan adil supaya orang ramai mempunyai keyakinan penuh bahawa setiap saman dikeluarkan dengan tepat dan tanpa sebarang prejudis.
“Ikatan Komuniti Selamat mengalu-alukan dasar baharu yang akan dilaksanakan mulai 1 Jan 2026 dengan saman akan dikeluarkan kepada semua pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas dan jumlah bayaran akan bergantung pada seberapa cepat denda berkenaan diselesaikan.
“Keputusan untuk menghentikan amalan pemberian diskaun besar-besaran terhadap saman tertunggak adalah langkah yang tepat dan wajar dipuji bagi menggalakkan akauntabiliti serta disiplin yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan akan menyeragamkan kadar serta prosedur kompaun kesalahan lalu lintas jalan raya di seluruh negara melalui pelaksanaan prinsip “lebih cepat anda bayar, lebih rendah jumlah bayaran,” atau the less you delay, the less you pay bermula 1 Jan 2026.
Loke berkata Kabinet membuat keputusan pada 17 Oktober lepas selepas mendapati wujud percanggahan dalam kadar dan kaedah penguatkuasaan kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menimbulkan kekeliruan serta memberi tanggapan bahawa undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten.
Sementara itu, Lee berkata sebelum ini, tawaran diskaun berkala mewujudkan persepsi bahawa pesalah hanya perlu menunggu tempoh pengampunan seterusnya untuk membayar dengan kadar diskaun dan amalan sedemikian melemahkan kesan pencegahan undang-undang lalu lintas serta menjejaskan usaha untuk memupuk budaya pemanduan bertanggungjawab.
Beliau berkata bagaimanapun dasar baharu itu juga perlu diperkukuh melalui pendidikan keselamatan jalan raya secara berterusan, pemantauan rapi terhadap pesalah berulang serta penggunaan alat teknologi seperti kamera penguatkuasaan automatik bagi memastikan kesaksamaan dan keadilan.
“Matlamat utama inisiatif ini bukan sekadar mengutip denda, tetapi untuk mengubah tingkah laku pemandu dan mempromosikan keselamatan jalan raya untuk semua. Kita semua berkongsi tanggungjawab untuk menjadikan jalan raya kita lebih selamat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial