KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 sebagai panduan strategik negara bagi mengurangkan pencemaran plastik secara berperingkat.
Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata pelan tersebut menekankan keperluan untuk mengubah cara masyarakat berinteraksi dengan bahan plastik antaranya daripada penggunaan berlebihan kepada pengurusan lestari yang berasaskan kitar semula dan guna semula.
Beliau berkata melalui kerangka berkenaan masyarakat bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi juga menjemput peluang ekonomi baharu.
"Justeru, saya menyeru semua pihak sama ada kerajaan, industri mahupun masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan matlamat sifar plastik sekali guna dapat dicapai menjelang 2030," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 Peringkat Kebangsaan di sini malam tadi.
Perasmian disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Selain itu, Ching berkata melalui pendekatan ekonomi kitaran e-sisa, kerajaan menggalakkan pemulihan dan pengitaran semula komponen berharga seperti tembaga, emas, dan perak daripada peralatan elektrik terpakai.
"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli baharu tetapi juga membuka peluang ekonomi dalam industri pemulihan bahan dan teknologi kitar semula," katanya.
Beliau juga berkongsi mengenai inisiatif Hari Pengumpulan E-Sisa yang dilaksanakan pada Sabtu terakhir setiap bulan di seluruh negara yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang pengurusan e-sisa mesra alam sekali gus menyediakan sumber bahan kitar semula yang bernilai untuk industri tempatan.
Tambah Ching kelestarian alam bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penglibatan aktif masyarakat, industri dan komuniti setempat dalam mengurangkan kesan pencemaran.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff memuji inisiatif kerajaan Kelantan termasuk menyediakan peruntukan RM27.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar yang memberi impak besar dalam memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian negara.
Mohd Nassuruddin pula memaklumkan peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek hijau dan inisiatif ekologi di peringkat negeri antaranya program Pemuliharaan Hutan dan Ekosistem; Pengurusan Sisa dan Kebersihan; Kempen Kesedaran Awam, serta Pendidikan Alam Sekitar dan Perlindungan Biodiversiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial