IPOH, 25 Okt (Bernama) -- Keputusan sampel air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik yang bertukar menjadi warna kebiruan disyaki akibat pencemaran akan diketahui pada Isnin depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Teh Kok Lim.
Beliau berkata sampel air sungai telah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan siasatan lanjut juga masih dijalankan JAS serta Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Perak untuk mengetahui punca kejadian.
“Kejadian ini pertama kali berlaku dan ia (sampel air) sedang dianalisis Jabatan Kimia dengan mereka diarahkan untuk mempercepat analisis,” katanya pada sidang media selepas Program Green Tech Perak 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Teh berkata pihaknya dimaklumkan kejadian disyaki berpunca daripada kolam takungan air melimpah akibat hujan lebat beberapa hari lepas.
Pada 21 Okt, gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan iaitu kira-kira lima kilometer ke arah utara Kampung Air Ganda, Gerik bertukar menjadi biru tular di Facebook.
Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh pada Khamis lepas, berkata kejadian disyaki akibat pencemaran daripada aktiviti perlombongan mineral namun siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial