KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Program Pentarama X Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN), merupakan inisiatif hiburan bermaklumat bagi menyampaikan mesej kenegaraan kepada pelajar sekolah.
Pengarah JaPen Kelantan Muhd Aswadi Md Nor berkata keterlibatan pelajar dan cara mereka berinteraksi dengan pengendali acara sangat positif, selain menzahirkan keterujaan pelajar untuk turut serta dalam program tersebut.
“Program sebegini juga mampu memberi penjelasan serta kefahaman mengenai manfaat pelaksanaan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Belanjawan 2026 serta Kepengerusian ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhd Aswadi berkata empat sekolah terpilih dalam program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1 dan SMK Tendong di Pasir Mas, SMK Cabang Empat, Tumpat serta SMK(C) Chung Hwa, Kota Bharu.
“Program kali ini melibatkan kira-kira 4,000 pelajar dari empat buah sekolah yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam.
“Malah, pada masa akan datang kita akan memilih Kelab Malaysiaku sekolah lain pula, agar mesej kerajaan berkenaan pelaksanaan dasar-dasarnya terus diperluaskan kepada golongan muda pelapis pimpinan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial