ALOR GAJAH, 26 Okt (Bernama) -- Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal mengumpul kira-kira 220 aduan berkaitan permasalahan rakyat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata aduan dikemukakan membabitkan pelbagai isu termasuk hakisan sungai dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata antara langkah proaktif menangani aduan rakyat itu ialah dengan menjadikan 10 Exco 'bapa angkat' kepada 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terdapat dalam DUN berkenaan.
"Exco ini akan menjadi pemudah cara berkaitan aduan disalurkan rakyat menerusi WRUR DUN Durian Tunggal ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian WRUR DUN Durian Tunggal di tapak bendang Kampung Beringin di sini hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Zahari Abdul Kalil.
Sementara itu, Zahari berkata DUN Durian Tunggal menerima peruntukan antara RM25 ke RM30 juta bagi menambah beberapa bilik darjah membabitkan empat sekolah kebangsaan dan satu sekolah menengah kebangsaan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata projek berkenaan dijangka akan dimulakan pada tahun depan dalam usaha kerajaan menangani kepadatan pelajar di kawasan itu sekali gus memberi keselesaan kepada mereka untuk menimba ilmu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial