KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) hari ini, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperjuangkan prinsip demokrasi serta hak asasi manusia menerusi diplomasi global dan perundingan antarabangsa.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor UM berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Ramaphosa pada Istiadat Konvokesyen Khas di Dewan Canselor UM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan Ramaphosa sebagai perunding dan pakar strategi yang berpengalaman.
Beliau juga tokoh penting dalam perjuangan menentang dasar apartheid di Afrika Selatan, perunding yang memilih keamanan berbanding dendam serta dialog berbanding perpecahan.
Sebagai Pengerusi Perhimpunan Perlembagaan, Ramaphosa membantu membentuk satu daripada perlembagaan paling progresif dalam sejarah manusia, sebuah piagam hidup mengenai kesamarataan, kebebasan dan hak asasi manusia yang terus memberi inspirasi kepada negara di seluruh dunia.
Beliau juga memperjuangkan kebajikan para pekerja, golongan muda dan mereka yang terpinggir. Sebagai Presiden, beliau terus mengingatkan dunia bahawa kepimpinan sejati diukur bukan melalui kuasa tetapi melalui nurani, dengan cara seseorang itu mengangkat orang lain untuk berdiri lebih tinggi.
Ramaphosa memulakan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia sejak Jumaat lepas atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri mesyuarat dua hala serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai tetamu pengerusi.
Beliau turut menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) dianjurkan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia pada 25 Okt lepas.
Presiden Afrika Selatan itu juga menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 semalam dan dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 serta menghadiri majlis makan malam gala dianjurkan Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Malaysia dan Afrika Selatan menjalin hubungan diplomatik pada November 1993, dengan hubungan dua hala yang dicirikan oleh ikatan diplomatik, ekonomi dan sejarah kukuh.
Kedua-dua negara turut bekerjasama rapat di pelbagai platform pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel dan BRICS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial