AM > BERITA

EAS: Anwar Seru Perbaharui Komitmen Untuk Dialog, Keamanan, Hubungan Pelbagai Hala

27/10/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk memperbaharui matlamat bersama serta memperkukuh komitmen untuk dialog, kerjasama dan hubungan pelbagai hala dalam menangani cabaran serantau dan global.

Beliau berkata forum pemimpin yang memasuki edisi ke-20 itu, diwujudkan atas kebijaksanaan dan pandangan jauh pengasasnya dan berperanan sebagai platform dialog strategik, politik dan ekonomi, dengan ASEAN sebagai daya penggerak.

“Hari ini, kita perlu memperbaharui matlamat kita bersama. Kita menegaskan objektif kita dan menggalakkan penglibatan yang berprinsip dan berpandangan ke hadapan," kata Anwar dalam ucapan perasmiannya pada sidang kemuncak itu di sini hari ini.

Turut hadir Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Perdana Menteri Australia Christopher Luxon.

Sidang juga dihadiri Setiausaha Negara AS Marco Rubio, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk, Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia Sugiono, Menteri Luar India S Jaishankar, Menteri Luar Korea Cho Hyun, Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi dan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Luar Myanmar Hau Khan Sum.

Anwar berkata negara anggota digesa untuk terus menggalakkan “dialog berbanding desakan, keseimbangan berbanding dikotomi, kerjasama berbanding konfrontasi” serta mendukung keamanan dan keselamatan global berlandaskan prinsip multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.

Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Anwar menyambut baik pelan komprehensif terkini bagi menamatkan konflik Gaza yang digambarkan beliau sebagai “permulaan penting dan kritikal bagi menghentikan kezaliman, genosid dan kekejaman”.

Beliau berkata inisiatif berkenaan perlu dipantau dengan teliti bagi menjamin penyelesaian politik yang adil, inklusif dan berkekalan untuk Palestin.

Anwar turut menyentuh mengenai isu Myanmar dengan menyatakan ASEAN mengulangi komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara dan Malaysia telah secara aktif berhubung dengan semua pihak bagi memupuk keamanan serta menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Malaysia, katanya telah memaklumkan kepada pemimpin Myanmar bahawa badan serantau itu bersedia memberikan sokongan kemanusiaan menerusi dua syarat iaitu gencatan senjata serta-merta dan akses penuh bagi penghantaran bantuan kepada semua komuniti tanpa mengira etnik atau kecenderungan politik.

Perdana Menteri berkata hospital medan Malaysia di Myanmar telah diberikan akses sepanjang tahun lepas dan memuji pihak berkuasa negara itu kerana membenarkan beberapa kemajuan dicapai.

Beliau berkata Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah kepada wakil daripada 27 kumpulan pembangkang dan parti etnik yang diselaraskan oleh Kementerian Luar sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan dialog inklusif.

Mengenai isu Laut China Selatan, Anwar berkata Malaysia menyambut baik usaha berterusan untuk merangka Kod Tatakelakuan (CoC), sambil menegaskan bahawa semua pertikaian perlu diselesaikan dalam kalangan ASEAN dan rakan serantau, bukannya melalui campur tangan luar.

“Kerana apabila sesuatu perkara dilihat seolah-olah dipaksa atau ditentukan oleh kuasa luar, ia akan menimbulkan lebih banyak kerumitan dan ketegangan. Namun, setakat ini keadaan masih terkawal,” kata beliau.

Beliau berkata semua pihak perlu berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Anwar turut menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan pelancaran peluru berpandu balistik baru-baru ini oleh Korea Utara (Republik Demokratik Rakyat Korea=DPRK) dan Malaysia terus menyokong penglibatan sebagai pendekatan pilihan.

“Sebaik sahaja kami menyeru dialog dari Gaza ke Ukraine ke Myanmar, kita tidak seharusnya menghalang penglibatan dengan DPRK,” katanya.

Perdana Menteri berkata sidang kemuncak itu akan menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur bagi memperingati ulang tahun ke-20 EAS, serta kenyataan mengenai menggalakkan penempatan dalam tindakan kesiapsiagaan dan tindak balas bencana.

Beliau berkata kedua-dua dokumen itu adalah bukti bahawa "kepelbagaian tidak memecah-belahkan" dan tindakan kolektif kekal sebagai asas kepada daya tahan rantau itu.

Dalam mengalu-alukan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa sebagai Tetamu Kerusi, Anwar memuji kedua-dua pemimpin atas komitmen mereka terhadap multilateralisme dan peralihan demokrasi.

Beliau menambah bahawa Malaysia berharap untuk mengeratkan kerjasama dengan Afrika dan Amerika Latin dalam perdagangan, pelaburan dan penglibatan geopolitik menerusi platform ASEAN dan EAS.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan kini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hingga esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan