AM > BERITA

KKR Perkukuh Kerjasama Dengan MOLIT Korea Selatan - Nanta

27/10/2025 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT) Korea Selatan dalam bidang pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hal ini selaras dengan peningkatan hubungan Malaysia–Korea kepada Rakan Strategik.

“Saya dan seluruh pasukan KKR mengalu-alukan mesyuarat dua hala yang amat bermakna hari ini antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung yang sekali lagi menzahirkan kekuatan serta keakraban hubungan dua hala,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mesyuarat dua hala itu diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Nanta berkata kedua-dua kementerian kini telah mencapai kemajuan penting ke arah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan yang akan dimeterai dalam masa terdekat.

“MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih mendalam menerusi bidang utama, iaitu sistem tol pintar dan ITS; sektor pembinaan pintar dan lestari; penyelenggaraan, pengurusan dan operasi aset jalan raya; serta dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan jalan bertol,” katanya.

Nanta berkata kerjasama ini dijangka mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dari Korea Selatan, khususnya dalam bidang mobiliti pintar dan inovasi pembinaan, sekali gus memperkukuh pertumbuhan bersama dan hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.

“KKR amat menghargai dedikasi, komitmen dan semangat kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Republik Korea sepanjang proses rundingan ini.

“Ia menjadi asas kukuh kepada usaha bersama dalam membina ekosistem infrastruktur yang moden, berdaya tahan dan mampan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan