SARIKEI, 27 Okt (Bernama) -- Polis kini giat melaksanakan lawatan ke sekolah-sekolah, termasuk sekolah berasrama di seluruh daerah Meradong bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman berada pada tahap optimum.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong itu juga bertujuan meningkatkan kehadiran serta keterlihatan polis di kawasan institusi pendidikan.
Beliau berkata program lawatan itu dilaksanakan sejak Januari tahun ini melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang ditempatkan di setiap sekolah di daerah berkenaan.
“Lawatan ini diadakan bagi memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang ancaman, kegiatan jenayah, kes buli dan aktiviti tidak bermoral, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak polis dan komuniti sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tansli berkata pihaknya mempergiatkan lawatan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) melalui rondaan Unit MPV, pada waktu siang dan malam khususnya di sekolah berasrama, bagi memantau disiplin pelajar serta memastikan kehadiran polis secara berterusan.
Beliau berkata melalui lawatan itu, PPS turut memberi khidmat nasihat dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pencegahan jenayah serta keselamatan diri.
Dalam lawatan terbaharu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Bintangor yang juga sekolah berasrama penuh pada 9.30 malam tadi, keadaan dilaporkan baik dengan pengawal keselamatan ditugaskan menjaga keselamatan kawasan sekolah.
“Hasil lawatan dan pemantauan mendapati semua pelajar berada di asrama masing-masing dalam keadaan baik dan sedang berehat,” katanya.
Tansli berkata pihaknya akan meneruskan lawatan seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa aman, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial