KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Malaysia memenuhi kriteria untuk menjadi anggota penuh blok BRICS, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk.
BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Beliau berkata negara anggota BRICS telah membincangkan hasrat Malaysia untuk menyertai kumpulan itu dan percaya bahawa dasar serta perspektif negara ini adalah selaras dengan nilai-nilai teras dan matlamat blok berkenaan.
“Perkara ini memang telah dibincangkan, BRICS adalah kumpulan negara yang membina hubungan berdasarkan sikap saling menghormati, dan ia menghormati prinsip konsensus, pada masa ini tiada sesiapa yang memaksa sesiapa dalam kalangan anggota BRICS.
“Negara anggota BRICS saling bertukar pandangan mengenai isu global serta pendekatan bersama terhadap isu strategik yang membentuk dunia moden kita. Dalam konteks ini, sudah tentu Malaysia memenuhi kriteria tersebut dengan baik,” katanya.
Overchuck berkata demikian kepada pemberita di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Terdahulu, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva telah menyuarakan sokongan padu terhadap aspirasi Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok BRICS.
Beliau berkata Malaysia adalah rakan serasi dengan nilai-nilai bersama dan memiliki potensi ekonomi yang berkembang.
Pada 24 Okt 2024, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS – sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global, sebagai negara rakan kongsi.
Setakat ini, Indonesia merupakan satu-satunya negara anggota ASEAN yang telah mencapai status anggota penuh.
Negara Asia Tenggara lain termasuk Thailand dan Vietnam, belum lagi menjadi anggota penuh.
Sementara itu, Overchuk mengulangi komitmen Rusia untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan Malaysia dan meneroka kerjasama dalam sektor tenaga.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal hari ini.
“Kami telah membincangkan isu perdagangan dan hubungan dua hala. Tahun ini, perdagangan kami dengan Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang positif selepas berlaku sedikit penurunan tahun lepas.
“Kami telah membincangkan kerjasama dalam sektor tenaga. Kami telah memperkenal inisiatif kami dalam pembangunan rantaian bekalan logistik antara bahagian utara dan selatan benua Eurasia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial