KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Indeks Inovasi Malaysia (MII) yang dirangka Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai platform bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara secara menyeluruh dijangka dilancarkan pada bulan depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pelaksanaan MII akan membolehkan kerajaan menilai profil ekosistem inovasi setiap negeri bagi mengenal pasti kekuatan serta jurang yang perlu ditambah baik.
“MOSTI akan meneruskan sesi libat urus dengan kerajaan negeri untuk menerangkan profil ekosistem inovasi masing-masing yang menjadi asas kepada MII.
“Inisiatif ini seterusnya akan memberi ruang kepada kerajaan negeri dan MOSTI untuk mengenal pasti intervensi yang bersesuaian serta membantu dalam proses pelaksanaan bagi setiap intervensi tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang meminta penjelasan mengenai langkah memperbaiki kedudukan inovasi negara serta status pelaksanaan MII.
Mohammad Yusof berkata MII akan terus digunakan sebagai mekanisme penanda aras bagi membandingkan ekosistem inovasi antara negeri, menilai keberkesanan dasar serta menarik pelaburan baharu.
Beliau berkata laporan MII akan diterbitkan secara dwitahunan bagi menilai perubahan dan kemajuan ekosistem inovasi di setiap negeri.
Menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai metrik dan indikator utama yang digunakan dalam MII bagi mengukur prestasi inovasi di peringkat negeri dan agensi, Mohammad Yusof berkata metrik tersebut dinilai melalui dua dimensi utama iaitu pemboleh daya inovasi dan penglibatan agensi.
“Metrik utama MII 2025 mengukur tahap inovasi melalui dua dimensi. Pertama ialah subindeks input yang menilai pemboleh daya inovasi seperti kesediaan modal insan dan penyelidikan melalui kekuatan sistem pendidikan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Kedua ialah kecanggihan penilaian dengan mengukur penglibatan sektor swasta dalam R&D serta pembiayaan dan subindeks output pula yang menilai hasil daripada pelaburan, termasuk prestasi pengetahuan dan teknologi berdasarkan permohonan paten, penerbitan serta produktiviti,” katanya.
Beliau berkata rangka penilaian MII dibangunkan sebagai pelengkap kepada Indeks Inovasi Global (GII), dan melalui pelaksanaannya, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam GII dengan sasaran berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial