AM > BERITA

Hubungan Malaysia-Singapura Terus Kukuh, Disokong Kepercayaan Dan Saling Menghormati

28/10/2025 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Singapura berikrar memperkukuh hubungan dua hala berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memastikan kemakmuran serta kestabilan serantau berkekalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengekalkan momentum rundingan sedia ada secara konstruktif, sambil memastikan pencapaian setiap kemajuan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat kedua-dua negara.

“Saya menantikan kesinambungan usaha ini sewaktu Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada Disember ini,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan harapan agar hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara “terus subur” serta menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

Wong yang diiringi isterinya, Loo Tze Lui serta Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan antara pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Malaysia dan Singapura terus menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain dengan nilai perdagangan dua hala dari Januari hingga November 2024 mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion), meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Untuk rekod, tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan