AM > BERITA

KKM Muktamad Perjanjian Etika Pengambilan Petugas Kesihatan M'sia Dengan Negara Luar

29/10/2025 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memuktamadkan pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara termasuk Singapura, Arab Saudi dan Australia, bagi memastikan pengambilan petugas kesihatan Malaysia di luar negara berlaku secara beretika serta tidak menjejaskan kapasiti sistem kesihatan awam negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu, selaras dengan Kod Etika Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pengambilan petugas kesihatan antarabangsa.

“Kod etika ini memberi panduan kepada negara-negara anggota dalam menguruskan pengambilan petugas kesihatan antara negara, supaya pelaksanaannya lebih beretika, meminimumkan impak kepada negara sumber yang biasanya terdiri daripada negara-negara membangun.

“... selain memelihara kebajikan petugas kesihatan yang berhijrah berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas isu pengambilan petugas kesihatan Malaysia oleh Singapura, Dr Dzulkefly menjelaskan pengambilan itu digerakkan oleh agensi swasta negara berkenaan.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Kesihatan Singapura dan beliau mengesahkan bahawa ini adalah kegiatan agensi swasta dan bukan kementerian negara itu. Beliau sendiri rasa tekilan…dan memberi jaminan pada ketika itu bahawa perkara itu tidak akan berulang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata tanggapan bahawa bekerja di luar negara sentiasa lebih menguntungkan adalah tidak menyeluruh, memandangkan terdapat aliran kemasukan semula pakar tempatan ke dalam negara.

“Hakikatnya kita juga tahu bahawa daripada 2021 hingga 2025, seramai 73 pakar perubatan warga negara yang bekerja di luar negara telah kembali. Tiga kembali berkhidmat di KKM dan 70 di sektor swasta dan badan berkanun.

“Apa yang penting adalah untuk kita terus membaiki sistem skim perkhidmatan, kerjaya dan imbuhan. Ini adalah kerja berterusan,” katanya.

Dalam aspek pendigitalan, Dr Dzulkefly berkata KKM melaksanakan peluasan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjelang 2029, dengan penggunaan pengkomputeran awan membolehkan pendigitalan klinik dipendekkan kepada tiga hari, berbanding sehingga enam bulan sebelum ini.

Menurut beliau sebanyak 160 klinik telah didigitalkan setakat 17 Okt lepas, manakala 2,489 fasiliti primer akan disiapkan menjelang 2026.

Berhubung keperluan tenaga kerja di Sabah dan Sarawak, Dr Dzulkefly berkata 1,315 lantikan tetap telah ditawarkan setakat 17 Okt lepas, namun hanya 47 peratus melapor diri, justeru sekurang-kurangnya satu pilihan lokasi penempatan kini diwajibkan di Labuan, Sabah atau Sarawak.

Dalam pembangunan fasiliti, Dr Dzulkefly berkata KKM memberi tumpuan kepada projek naik taraf klinik kesihatan berbanding pembinaan hospital baharu.

Ini termasuk menaik taraf Klinik Kesihatan Maran kepada fasiliti Jenis 2, berikutan ketiadaan tapak sesuai untuk hospital baharu serta penggabungan Klinik Kesihatan Pahi dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai di Kelantan, sebagai kompleks kesihatan daerah, katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan