AM > BERITA

Keseronokan Bekerja Bermula Dari Rumah - Pakar Psikiatri

28/10/2025 06:52 PM

KANGAR, 28 Okt (Bernama) -- Keseronokan bekerja tidak hanya bergantung kepada persekitaran tempat kerja, sebaliknya ia bermula dengan kebahagiaan di rumah dan kesihatan diri yang baik.

Ketua Jabatan dan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini Dr Muhammad Zul Azri Muhammad Yusoff berkata semua pekerja perlu memastikan keharmonian keluarga sentiasa terjaga selain penjagaan kesihatan diri yang betul dalam usaha mewujudkan suasana seronok itu.

“Keseronokan (bekerja) itu wujud jika ia datang dari rumah, jarang saya tengok bila di rumah tak seronok, di tempat kerja okay. Bila di rumah keluarga kecil tak harmoni, jangan harap di tempat kerja akan turut harmoni.

“Kalau di rumah gembira, (di) tempat kerja aman dan gembira. Di rumah kena elok, jaga pasangan dan anak dengan elok. Bila itu elok, akan bawa ke tempat kerja… jaga pasangan masing-masing dengan betul, jangan buat sesuatu yang tak elok dan tak munasabah di luar (atau) tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Keseronokan Bekerja: Membina Persekitaran Kerja Yang Menyeronokkan pada Konvensyen Psikologi MADANI Peringkat Negeri Perlis 2025 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini hari ini.

Selain itu, Dr Muhammad Zul Azri berkata kesihatan fizikal sangat penting terutama sihat tubuh badan dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat untuk menikmati keseronokan dalam pekerjaan. 

“Kalau kita tak sihat, jangan harap kita boleh seronok,” katanya, yang turut memberitahu keseronokan bekerja itu juga datang daripada diri sendiri menerusi motivasi yang membangkitkan semangat untuk pergi kerja dengan memahami tujuan pekerjaan itu.

Konvensyen sehari bertemakan ‘Membudayakan Keseronokan Bekerja: Kesejahteraan Psikologi Ke Arah Organisasi Berprestasi Tinggi’ itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Rahimi Ismail.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan