AM > BERITA

Penyertaan Pelajar TVET Dijangka Capai 70 Peratus Menjelang Akhir RMK13

29/10/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Penyertaan pelajar dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini berada pada tahap 53.9 peratus dan dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peningkatan itu didorong oleh kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi serta peluang gaji yang lebih baik, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.

“Kita tahu ramai pelajar lepasan sekolah menengah kini memilih TVET sebagai laluan utama untuk melanjutkan pelajaran. Jika tiga tahun lalu jumlah pelajar yang memasuki bidang TVET ialah 190,000 orang, kini ia meningkat kepada 439,000 orang, melibatkan 1,368 institusi TVET di seluruh negara.

“Ini bermaksud kita telah melakukan game changer dalam mengubah ekosistem pendidikan, beralih daripada laluan konvensional yang menekankan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada program Chit Chat MADANI anjuran Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (Backbenchers Club-BBC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan berkata kadar kebolehpasaran graduan bagi institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), adalah lebih tinggi iaitu 98.7 peratus, manakala Akademi Binaan Malaysia di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mencatatkan 100 peratus.

“Walaupun gaji minimum nasional ialah RM1,700, graduan yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 TVET menerima gaji premium sekitar RM2,500. Sebab itu kerajaan memberi perhatian terhadap TVET, dan keutamaannya adalah kepada pelajar luar bandar,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan terus menjadikan TVET sebagai antara bidang utama yang akan memacu transformasi ekosistem tenaga kerja belia di Malaysia.

“Apabila saya diberi kepercayaan untuk mempengerusikan Majlis TVET Kebangsaan, peruntukan ketika itu yang diagihkan di bawah 12 kementerian yang menguruskan TVET berjumlah RM6.8 bilion.

“Setahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada RM7.5 bilion, dan tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia akan naik lagi kepada RM7.9 bilion. Ini menunjukkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan TVET,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan