KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Syarikat Pintas Utama terus mengukuhkan kehadirannya di pentas antarabangsa dengan menyertai pameran sempena Persidangan 17th Road Engineering Association of Asia and Australasia (REAAA) yang berlangsung dari 26 Okt hingga 31 Okt ini di Goyang, Korea Selatan.
Menurut syarikat itu, penyertaan kali ketiganya dalam persidangan tersebut merupakan langkah strategik untuk memperluas jaringan kerjasama dan meneroka teknologi baharu yang berpotensi diaplikasikan dalam pengurusan cerun di Malaysia.
“Pintas Utama percaya bahawa dengan memperkukuh jaringan kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa akan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih berkesan terhadap cabaran semasa industri,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.
Persidangan tersebut turut menyaksikan perasmian Pavilion Malaysia oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pintas Utama.
Berbekalkan rekod prestasi cemerlang dalam penyampaian penyelesaian cerun secara proaktif sejak 2017, Pintas Utama memberi tumpuan kepada pendekatan menyeluruh yang merangkumi pengumpulan data, reka bentuk, pembinaan, pemantauan dan penyelenggaraan berkala, sejajar dengan piawaian serta kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Syarikat itu turut mempertingkat tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut, memandangkan corak angin dan hujan pada musim tersebut sering dikaitkan dengan risiko kegagalan cerun serta kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan di Malaysia.
Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Ir Marhalim Mohamed berkata pendekatan Total Slope Solution yang diterapkan bukan sekadar inovasi kejuruteraan, tetapi juga mencerminkan tanggungjawab sosial syarikat terhadap keselamatan awam dan kelestarian infrastruktur negara.
“Menjelang musim monsun, kesiapsiagaan dan tindakan proaktif adalah keutamaan kami untuk memastikan keselamatan awam berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan sama.
Selain itu, Pintas Utama turut bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam membangunkan inventori cerun kebangsaan secara digital dan bersepadu, menggunakan teknologi seperti survei geoteknikal, LiDAR dan dron bagi mengenal pasti tahap risiko cerun di seluruh negara, sementara jurutera berpengalaman akan menghasilkan reka bentuk berinovatif yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar.
Penyelenggaraan pula dilaksanakan secara sistematik termasuk pembersihan saliran, pemeriksaan struktur dan pemangkasan pokok bagi menjamin kestabilan cerun dan memastikan keselamatan pengguna jalan sentiasa terpelihara.
Pasukan teknikal terlatih syarikat itu juga ditempatkan di beberapa negeri strategik untuk bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan, termasuk menjalankan pemantauan awal di kawasan berisiko tinggi serta menyediakan pelan kontingensi bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
“Pintas Utama kekal komited untuk memastikan rangkaian jalan Persekutuan dan Negeri di Malaysia terus berkualiti, selamat dan selesa demi kelangsungan mobiliti rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial