AM > BERITA

Speaker Dewan Rakyat Tegas, Jangan Hina Penjawat Awam

29/10/2025 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam ketika berbahas, sambil menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian.

Johari berkata wakil rakyat bebas mengkritik Jemaah Menteri termasuk menteri dan timbalan menteri, namun penjawat awam tidak boleh dijadikan sasaran kecaman atau penghinaan di dalam Dewan.

“Saya serius tentang hal ini. Sesiapa pun, sama ada daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang, jika menghina penjawat awam, saya akan mengambil tindakan. Anda boleh memberi komen tentang ahli politik, tetapi jangan sesekali menghina penjawat awam.”

“Jangan cabar saya. Tolonglah… ada orang kutuk Ketua Setiausaha (KSU), ada orang mengata macam-macam perkara, jangan buat begitu,” katanya ketika menamatkan sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya memberi tumpuan kepada isu dasar ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat dasar bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) esok, serta tidak mengaitkan pegawai kerajaan semasa mencelah atau bertanyakan soalan.

“Esok ialah waktu untuk menteri MITI menggulung. Jika ada soalan mengenai Perjanjian ART, anda boleh bertanya kepada menteri esok. Peringatan saya, anda boleh kritik menteri, anda boleh kritik timbalan menteri, tetapi jangan kaitkan penjawat awam. Itu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat menjadi kecoh ketika Tengku Zafrul memberikan penerangan dan menolak dakwaan bahawa perjanjian itu menggadaikan kedaulatan negara, sambil mempertahankan usaha pegawai kerajaan dalam rundingan tersebut.

Keadaan semakin tegang apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) cuba mencelah sebelum ditegur Johari yang memaklumkan beliau tidak membenarkan sebarang celahan atau perbahasan bagi sesi tersebut.

Sebelum sesi penerangan bermula, Johari turut  mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak mencelah atau berbahas sepanjang menteri memberikan penjelasan.

“Saya ingin berikan sedikit garis panduan. Pertama, saya tidak benarkan celahan, biar menteri teruskan ucapan. Kedua, saya tidak akan membenarkan perbahasan kerana kita ada giliran anggota pentadbiran termasuk menteri yang akan menggulung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan